Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
am@hmetro.com.my


BERITA mengenai cubaan culik lapan murid sebuah sekolah di Gunung Semanggol, Bagan Serai, oleh sekumpulan lelaki menaiki van putih yang tular sejak semalam hanya 'imaginasi' murid berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kerian Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, hasil siasatan mendapati kejadian itu hanyalah rekaan murid terbabit.

Menurutnya, memang terdapat laporan dibuat oleh Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid sekolah kebangsaan terbabit terhadap kes yang dikatakan berlaku di hadapan sekolah pada 4.30 petang, 4 Oktober lalu.

"Bagaimanapun hasil siasatan dan rakaman percakapan murid yang membuat dakwaan itu serta seorang guru kelmarin, mendapati kewujudan van putih untuk cubaan menculik mereka sebenarnya hanyalah 'imaginasi'.

"Polis memandang serius terhadap sebarang kes cubaan culik murid sekolah dan siasatan segera dibuat sebaik menerima laporan oleh guru.

"Namun, sewaktu rakaman percakapan terhadap lapan murid dibuat, polis mendapati dakwaan mereka diekori dan cuba dibawa masuk ke dalam sebuah van putih tidak wujud," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, polis menganggap dakwaan itu sebagai rekaan murid berkenaan dan kes dianggap tiada.

"Laporan kes cubaan culik itu hampir menyerupai kronologi laporan kes cubaan culik yang berlaku di Perak Tengah, tiga minggu lalu.

"Saya minta masyarakat menghentikan penularan kisah culik menggunakan van putih ini kerana hasil siasatan polis ternyata kes sebegitu tidak wujud," katanya.

Sejak semalam tular di media sosial gambar salinan laporan polis mengenai kes cubaan menculik enam murid sebuah sekolah kebangsaan di Gunung Semanggol, yang dibuat guru sekolah berkenaan.

Dalam laporan polis itu, guru berkenaan memaklumkan pada 4 Oktober lalu, kira-kira 4.30 petang, seramai enam murid tahun empat yang berada di sebuah pondok kecil di hadapan sekolah kebangsaan terbabit didatangi sebuah van putih.

Laporan polis itu turut menyebut van putih dinaiki enam lelaki tidak dikenal pasti bergerak perlahan ke arah mereka dengan pintu bahagian tengah berada dalam keadaan terbuka.

Berikutan itu, semua murid berlari ke dalam kawasan sekolah dan menyangka ada individu dalam van itu ingin menculik mereka.

Selain itu, laporan polis itu turut menyebut terdapat dua lagi murid sekolah yang sedang menaiki basikal, turut dihimpit van putih terbabit serta cuba menculik mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Oktober 2017 @ 5:59 PM