PEGAWAI Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Mior Nor Badrishah Mohamad (kiri) bersama pakar penyiasat MH370 meneliti objek dipercayai serpihan pesawat MH370 di Pejabat Polis Daerah Besut pada 29 Januari 2016. FOTO Rozainah Zakaria.
Suraya Roslan
suraya@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia MH370 masih gagal difahami walaupun pelbagai kaedah dilakukan dengan kerjasama ratusan agensi profesional daripada pelbagai organisasi di seluruh dunia.

Laporan akhir 440 halaman pencarian MH370 diterbitkan Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) turut membuat kesimpulan kehilangan pesawat yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing tidak sewajarnya berlaku dalam era penerbangan moden dengan 10 juta penumpang menggunakan pesawat komersial setiap hari.

Kehilangan Boeing 777 pada 8 Mac 2014 dalam penerbangan ke Beijing dari Kuala Lumpur menjadi misteri penerbangan terbesar di dunia.

Laporan itu menyatakan punca kehilangan pesawat MH370 bersama 239 penumpang dan anak kapal tidak dapat ditentukan dengan pasti sehingga pesawat terbabit ditemui.


GAMBAR yang dirakam Blaine Gibson pada 20 Jun 2016 menunjukkan beberapa barangan peribadi disyaki milik penumpang MH370 yang dihanyutkan ke Riake Beach, Isle Ste Marie, (Nosy Boraha), Madagascar. FOTO EPA/Blaine Gibson

“Kehilangan pesawat ini hampir gagal difahami, pelbagai kaedah dilakukan namun masih gagal mengesan badan pesawat bersama anak kapalnya.

“Kami kesal kerana masih gagal menemui pesawat ini bersama penumpang dan anak kapal walaupun selepas usaha pencarian luar biasa membabitkan ratusan agensi profesional daripada pelbagai organisasi di seluruh dunia dilancarkan,” menurut laporan itu yang disiarkan dalam laman web ATSB.

Laporan akhir pencarian MH370 diterbitkan ATSB, kelmarin menyatakan pencarian bawah air termasuk membina semula laluan pesawat serta kajian serpihan dalam tempoh 12 bulan lalu sambil mengetepikan banyak kebarangkalian kawasan, sekali gus mengenal pasti kawasan paling mungkin ia berada.


GAMBAR yang dirakam Blaine Gibson pada 20 Jun 2016 menunjukkan beberapa barangan peribadi disyaki milik penumpang MH370 yang dihanyutkan ke Riake Beach, Isle Ste Marie, (Nosy Boraha), Madagascar. FOTO EPA/Blaine Gibson

Analisis semula imejan satelit yang diambil pada 23 Mac 2014 di kawasan berhampiran dengan arka ketujuh mengenal pasti pelbagai objek yang mungkin serpihan MH370.

Laporan itu turut menyebut ketika operasi pencarian bawah air digantung Januari lalu, lebih 120,000 kilometer persegi kawasan terbabit dalam operasi berkenaan dan diketepikan dengan tahap keyakinan yang tinggi.


GAMBAR yang dirakam Blaine Gibson pada 20 Jun 2016 menunjukkan beberapa barangan peribadi disyaki milik penumpang MH370 yang dihanyutkan ke Riake Beach, Isle Ste Marie, (Nosy Boraha), Madagascar. FOTO EPA/Blaine Gibson

Secara keseluruhan, 661 kawasan dikenal pasti dalam imejan sonar di dasar laut dan daripada jumlah itu 82 kawasan diselidik sebelum disingkirkan daripada kemungkinan ada kaitan dengan MH370 manakala empat bangkai kapal turut dikenal pasti dalam kawasan yang dicari.

Berdasarkan laporan itu juga pada 29 Julai 2015 selepas 500 hari kehilangan pesawat itu, satu serpihan pesawat ditemui di Pulau La Réunion di Lautan Hindi Barat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Oktober 2017 @ 7:25 AM