Mohd Saibul menunjukkan gambar anaknya yang meninggal dunia selepas disengat tebuan di Kampung Rhu Muda, Marang. Lokasi mangsa disengat tebuan (gambar kecil) FOTOMOHD SYAFIQ RIDZUAN AMBAK
Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my


MURID tahun empat Sekolah Kebangsaan (SK) Seberang Marang, yang meninggal dunia selepas disengat lebih 100 tebuan sempat pulang ke rumahnya di Kampung Rhu Muda, Marang semalam untuk memaklumkan dia disengat serangga berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang, Ahmad Amirul Mustaqim Mohd Saibul, 10, meninggal dunia malam semalam selepas hampir enam jam dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu.

Selain itu, dua rakannya yang dikenali sebagai Alif Hakim dan Amirul Fikri berusia 10 tahun turut disengat serangga itu dan kini dirawat di HSNZ.

Bapa Ahmad Amirul Mustaqim, Mohd Saibul Ibrahim, 39, berkata, dia yang berada di rumah dikejutkan dengan kepulangan anaknya yang dihantar seorang lelaki dengan menunggang motosikal.

"Ketika itu, arwah yang juga anak sulung daripada lima beradik memaklumkan dia disengat tebuan sambil menunjukkan kesan sengatan serangga itu di badan, kepala, dada dan punggung.

"Saya sempat bertanya sama ada dia yang baling sarang tebuan itu tetapi arwah memaklumkan ada orang lain baling sebelum saya menyuruhnya mandi kerana mahu menghantarnya ke Klinik Kesihatan Marang.

"Arwah yang menerima rawatan awal di Klinik Kesihatan Marang kemudiannya dirujuk ke HSNZ, Kuala Terengganu berikutan keadaannya ketika itu bertambah lemah.

"Doktor yang merawatnya di HSNZ kemudiannya memaklumkan pernafasannya semakin teruk dan turut kecing berdarah sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira jam 10.40 malam tadi," katanya.

Menurut Mohd Saibul, arwah bersama dua rakannya dikatakan keluar rumah untuk membeli alat ganti basikal sebelum mereka diserang serangga berkenaan ketika dalam perjalanan pulang ke rumah.

"Jarak antara rumah dan tempat kejadian kira-kira satu kilometer, sebelum ini arwah jarang menggunakan laluan itu untuk pulang ke rumah.

"Saya reda, benda dah nak jadi dan saya tidak mahu menuduh mana-mana pihak. Kami sekeluarga reda dengan kejadian menimpa arwah," katanya.

Jenazah Ahmad Amirul Mustaqim selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Lorong Masjid Haji Kadir, Kuala Terengganu bersebelahan dengan adik lelakinya yang meninggal dunia lima tahun lalu pagi semalam.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu Shafruddin Ali Hussin ketika dihubungi bersimpati dengan kejadian menimpa mangsa dan keluarga.

"Orang ramai yang melihat kewujudan sarang tebuan diharapkan tidak mengambil tindakan sendiri kerana ia boleh membahayakan keselamatan orang lain sebaliknya menghubungi pihak berkaitan untuk tindakan lanjut," katanya.

Sejak Ogos lalu, dilaporkan empat kanak -kanak termasuk dua beradik maut dalam tiga kejadian serangan tebuan di Besut dan Dungun.

Pada 2 Ogos, Muhammad Adrian Aiman Mohd Rosmin, 8, murid tahun dua SK Benting Lintang, Besut maut disengat lebih 60 ekor tebuan ketika bermain di halaman rumahnya.

Turut dilaporkan dua beradik meninggal dunia selepas diserang tebuan ketika bermain bersama seorang lagi saudara mereka di kawasan rumahnya di Kampung Batu Tiong, Dungun pada 8 Ogos.

Iffriah Darwisha Abdul Wahab Al Hadi, 3, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Dungun, 10.30 malam hari kejadian manakala kakaknya, Irdina Batrisyia, 8, pula meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSNZ kira-kira jam 2 pagi pada 10 Ogos.

Pada 17 Ogos lalu, kanak-kanak berusia dua tahun, Puteri Nur Aisyah Azahar meninggal dunia ketika menerima rawatan di HSNZ selepas dirujuk dari Hospital Besut berikutan diserang tebuan.

Kanak-kanak itu diserang sekumpulan tebuan yang bersarang di kedai terbiar berhampiran rumahnya di Kampung Tok Has, Besut dalam kejadian 12.45 tengah hari.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Oktober 2017 @ 8:38 PM