MESKIPUN sepi tanpa publisiti, Afiq tidak pernah putus penuhi undangan berlakon.
Ramlah Zainal
ramlah@hmetro.com.my


Sepanjang 11 tahun terbabit dalam industri hiburan tanah air, nama pelakon Afiq Muiz dikenali apabila terpalit kontroversi mengenai konflik dengan ibu kandungnya.

Malah, Afiq, 25, juga didakwa melarikan diri daripada pihak media sebelum ini kerana tidak mahu cerita hitamnya diungkit lagi.

“Saya akui ada pihak media mendakwa saya seorang bermasalah dan sukar dihubungi sebelum ini.

“Sebenarnya, saya ‘hilang’ sekejap kerana berkecil hati dengan segelintir pihak yang cuba membangkitkan semula cerita hitam yang berlaku enam tahun lalu.

“Saya juga sangat sensitif apabila ada orang bertanya lagi mengenai hubungan dengan ibu, Hasliza Mohd kerana kami sudah lama berbaik semula selepas kontroversi berakhir dulu,” katanya.

Namun, kata Afiq, setiap kejadian yang berlaku dalam hidupnya dulu ada hikmah di sebaliknya.

“Waktu itu saya belum matang. Sekarang saya sudah pun membuka episod baru dalam hidup ketika ini.

“Memang ramai orang menghentam saya sebelum ini tetapi saya sangat berharap kisah silam itu beri pengajaran kepada orang lain.

“Ibu adalah segala-galanya dalam hidup saya. Sebagai anak sulung, saya juga mengambil alih menjaga keluarga sekarang,” katanya.

Walaupun sepi tanpa publisiti, Afiq akui tidak pernah putus memenuhi undangan berlakon.

“Alhamdulillah, semuanya berkat doa ibu saya. Buat masa ini, saya sibuk di lokasi penggambaran drama bersiri Laluna arahan Liza Ismail bersama Zahirah MacWilson di Johor Bahru.

“Saya membawa watak antagonis iaitu Don dalam cerita ini. Selepas Johor Bahru, kami akan menjalani penggambaran di Pulau Batam, Indonesia dan Bosnia-Herzegovina pula,” katanya.

Ditanya watak diimpikan pula, Afiq berkata, dia ingin melakonkan watak sebagai pendakwah pula selepas ini.

Beralih sisi peribadinya pula, Afiq mengakui belum bertemu pengganti.

“Saya tidak mencari jodoh kerana semuanya sudah tertulis. Saya juga tidak serik bercinta dengan rakan artis kerana kalau sudah jodoh saya akan terima saja.

“Insya-Allah, saya juga merancang menunaikan umrah tahun depan. Soal jodoh itu, saya hanya serahkan kepada ketentuan Allah SWT,” katanya.

Chacha tidak sorok kekasih

Chacha Maembong, 21, lebih suka bersikap ‘low profile’ kerana ingin mengelak sebarang kontroversi membabitkannya.

Menurut adik kepada pelakon popular Emma Maembong ini, dia juga masih memenuhi undangan berlakon ketika ini.

“Saya tidak kisah soal populariti kerana ingin dikenali kerana bakat dalam lakonan.

Maklumlah, usia saya masih muda dan masih banyak kelemahan dalam bidang lakonan,” katanya.

Antara lakonannya sebelum ini ialah Menantu Bilal dan Neraka Di Mata Syurga Di Hati yang sudah bersiaran di TV3.

Beralih sisi peribadinya pula, Chacha mengakui sudah memiliki kekasih, Leslie, 27, yang bekerja sebagai deejay dan dikenali hampir setahun lalu.

“Alhamdulillah, hubungan kami direstui keluarga kedua-dua pihak terutama ayah walaupun berlainan agama kerana dia keturunan Cina.

“Insya-Allah, kalau ada jodoh kami memang ada perancangan berkahwin apabila sampai masanya nanti,” katanya.

Pasangan kekasih dalam filem

Buat julung kali, Afiq dan Chacha digandingkan di layar perak menerusi filem I’M Not A Terrorist terbitan White Merpati Entertainment.

Dalam filem arahan Arjin Uppal ini, mereka digandingkan sebagai pasangan kekasih iaitu Ummar, pemuda Kashmir yang bercinta dengan Dayana ketika sama-sama menuntut di sebuah kolej di Malaysia.

Menurut Afiq, dia tiada masalah mendapatkan keserasian dengan Chacha untuk menjiwai babak mereka dalam filem itu.

“Apa yang mencabar ialah ketika kami menjayakan penggambaran di bumi Kashmir dengan cuaca yang sangat sejuk dan bersalji.

“Chacha juga tidak tahan sejuk walaupun sudah memakai baju berlapis dan tebal.

“Babak paling sukar ialah ketika saya berlari di puncak bukit yang tinggi dan kurang oksigen,” katanya.

Afiq berkata, dia puas dapat melakonkan watak Ummar yang juga anak Zabira dalam filem itu.

“Saya sangat selektif dari segi watak dan terima naskhah itu atas dasar dakwah kerana ingin menyampaikan mesejnya iaitu Islam itu bukan pengganas dan pengganas adalah manusia itu sendiri.

“Cabaran terbesar pastinya saya perlu berbahasa Hindi dan menjiwai watak anak kepada Zabira lakonan legenda Bollywood iaitu Farida Jalal,” katanya.

Chacha yang memegang watak Dayana iaitu kekasih Ummar dalam filem itu turut berdepan cabaran getir ketika penggambaran filem itu di Kashmir pada tahun lalu.

“Selain cuaca sangat sejuk, sebelah mata saya juga terkena jangkitan hingga terpaksa dirawat dan lokasi penggambaran sangat berbahaya kerana ia kawasan pengganas.

“Namun, saya puas dapat melalui semua cabaran itu membuktikan kemampuan dalam lakonan sekali gus melangkah ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Filem I’M Not A Terrorist yang turut menampilkan barisan legenda Bollywood seperti Gulshan Grover dan Rahul Dev akan menjengah pawagam seluruh tanah air dan serentak di India bermula 5 Oktober ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Oktober 2017 @ 5:35 AM