NIK Norliliwati Nik Mat, 44, (kanan) bersama mak tirinya, Nisah Saleh, 69, menunjukkan gambar keluarga adiknya, Allahyarham LK 1 Nik Mohd Baihaqy Nik Mat, di rumahnya di Kampung Keranji, Pasir Tumboh, Kota Bharu, Kelantan. FOTO Zaman Huri Isa
Hazira Ahmad Zaidi
am@hmetro.com.my


“DAH dua bulan arwah ayah meninggalkan kami, kini adik pula,” kata Nik Noorliliwati Nik Mat, 44, kakak kepada Allahyarham Laskar Kanan 1 Nik Mohd Baihaqy Nik Mat, 28.

Arwah Nik Mohd Baihaqy meninggal dunia di Bilik Tahanan Unit Sungai Wangi, Sitiawan, Ipoh, Perak, semalam.

Nik Noorliliwati berkata, kali terakhir dia berjumpa arwah adiknya ketika pulang ke kampung, 30 Julai lalu, iaitu pada hari arwah ayah mereka meninggal dunia.

Katanya, sebelum ini, arwah adiknya ada meluahkan hasrat berhenti tentera disebabkan berat badannya yang bertambah.

“Ketika arwah pulang ke kampung, dia ada mengadu ada pengawai mengeluarkan surat amaran tanpa diberitahu apa kesalahan yang dilakukan.

"Masa tu, saya tak memikirkan perkara itu sehinggalah saya menerima panggilan adik, Nik Salwani, 26, yang beritahu berita kematian Eqiey (panggilan kepada arwah)," katanya ketika ditemui di rumah keluarganya di Kampung Kubang Keranji, Pasir Tumboh, di Kota Bharu, malam tadi.

Katanya, pada awal September, isteri arwah ada menghubunginya melalui telefon dan memberitahu semua anak mereka berusia empat tahun dan 10 bulan tiba-tiba menjadi rapat dengan arwah bapa mereka.

"Pada waktu itu, arwah bercuti 10 hari dan dalam tempoh itu setiap masa arwah menghabiskan masa bersama anak-anak dan tidak pernah berenggang walaupun sesaat.

"Saya tidak sangka itu kali terakhir anak-anaknya dapat bermanja dengan arwah ayah mereka," katanya.

Nik Noorliliwati berkata, arwah adiknya itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Limbat bersebelahan kubur arwah ayah mereka.

Mengulas lanjut, dia turut berharap kematian arwah adiknya itu mendapat keadilan kerana kejadian berlaku di bilik tahanan.

Allahyarham Nik Mohd Baihaqy adalah seorang daripada dua anggota TLDM yang meninggal dunia di Bilik Tahanan Unit Sungai Wangi, Sitiawan, 3. 15 petang, Jumaat.

Seorang lagi adalah Allahyarham LK 1 Muhammad Lailatulman Mohd Sukri, 26.

Berita berkaitan

[UPDATE] Tunggu keputusan bedah siasat

Naluri isteri LK 1 Nik Mohd Baihaqy

Anggota TLDM maut latihan fizikal

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 September 2017 @ 9:01 PM