LI Chunrong pada sidang media bersama antara DRB-HICOM dan Zhejiang Geely Holding Group. FOTO Asyraf Hamzah
Sofyan Rizal Ishak
sofyan.rizal@hmetro.com.my


PROTON Holdings Berhad (Proton) mengumumkan pelantikan Dr Li Chunrong sebagai Ketua Pegawai Eksekutif anak syarikat milik penuhnya, Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (PONSB) berkuatkuasa 1 Oktober ini.

Dr Li, 52, adalah warga China yang menyertai Geely pada 22 Ogos lalu.

Sebelum ini beliau adalah Timbalan Pengurus Besar Dongfeng Honda Engine Co.

Beliau memiliki pengalaman selama 30 tahun dalam industri automotif dan pernah bekerja dengan jenama utama antarabangsa seperti Honda, Kia dan Dongfeng dalam pelbagai peringkat tertinggi.

Pengerusi Proton, Datuk Seri Syed Faisal Albar berkata, pelantikan itu dilakukan berikutan peletakan jawatan Datuk Ahmad Fuaad Kenali pada 30 September ini.

"Beliau bakal bertanggungjawab terhadap keseluruhan operasi Proton yang membabitkan pengeluaran, pembuatan, operasi, kualiti dan penyelidikan serta pembangunan dan penjualan dan pemasaran," katanya pada sidang media bersama DRB-Hicom Berhad dan Zhejiang Geely Holding (Geely) Shah Alam, hari ini.

"Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif semasa iaitu Datuk Radzaif Mohammed akan menyokong Li dan bersama-sama mengetuai pelan pemulihan untuk Proton," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 September 2017 @ 12:18 PM