HAMIDAH (tengah) bersama anak yatim yang diuruskan Pertubuhan Kebajikan Kasih Sayang di Bukit Setongkol.
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz
azimfitri@hmetro.com.my


Kuantan: Tiada siapa menduga pemergian kakaknya menghadap Illahi 16 Ogos lalu menyuntik azimat berharga buat eksekutif perbankan Hamidah Sulong, 33, meneruskan kelangsungan tanggungjawab yang ditinggalkan arwah untuk mengendalikan operasi rumah anak yatim di Bukit Setongkol, di sini.

Walaupun berdepan dengan cabaran masa, tempat tinggal dan tuntutan tugas hakiki, ia tidak mematahkan semangat wanita berasal dari Dungun, Terengganu itu meneruskan cita-cita dan amanah yang ditinggalkan arwah kakaknya, Sofea.

Menceritakan usahanya selepas kematian kakak akibat penyakit jangkitan paru-paru, Hamidah berkata, dia tidak pernah terfikir untuk memiliki atau menguruskan rumah anak yatim yang diasaskan kakaknya.

Dengan tuntutan tugas sebagai pegawai bank di ibu negara serta perlu berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Kuantan setiap minggu, ia bukan tugas mudah.

Namun segalanya berubah sekelip mata apabila dia diamanahkan kakaknya untuk menguruskan secara bersama pertubuhan berkenaan bersama abang iparnya.

“Rumah anak yatim ini mempunyai 15 penghuni terdiri daripada mereka yang berusia dua hingga 15 tahun. Arwah kakak buka rumah ini pada 2015 dan memang cita-citanya membuka rumah anak yatim untuk membantu mereka yang tidak bernasib baik.

“Tetapi selepas dia meninggal dunia, saya seakan-akan diberi kekuatan dan semangat untuk meneruskan impiannya. Tidak pernah terfikir sebelum ini untuk menguruskan pertubuhan ini. Alhamdulillah, Allah beri saya kecekalan biarpun saya tinggal di Kuala Lumpur,” katanya.

Anak kelima daripada enam beradik itu berkata, walaupun berdepan kekangan masa dan kerjaya, ia tidak menjadi penghalang buatnya berulang-alik setiap minggu pada Jumaat hingga Ahad meluangkan masa bersama anak yatim di bawah jagaannya. Apatah lagi segala kepenatan dan kesusahan yang dilalui terubat sebaik mendengar anak-anak yatim pertubuhan berkenaan memanggilnya dengan gelaran ‘mama’.

Pertubuhan yang beroperasi secara sewaan di kediaman teres dua tingkat itu mempunyai lima penjaga termasuk tukang masak dan guru al-Quran yang mengambil tanggungjawab mengurus dan menyediakan kelengkapan harian kanak-kanak dan remaja terbabit termasuk urusan persekolahan mereka.

“Saya bersyukur mempunyai ibu saudara, abang dan abang ipar yang turut membantu menguruskan pertubuhan ini. Jika diikutkan perbelanjaan pertubuhan ini memerlukan RM10,000 sebulan dan saya berdoa pertubuhan ini dapat bertahan walaupun dengan ketiadaan arwah,” katanya.

Hamidah berkata, dia cuba memastikan anak-anak di bawah seliaannya mendapat kehidupan berkualiti seperti kanak-kanak lain dengan menyediakan keperluan makanan, perbelanjaan sekolah dan kelas agama kepada mereka.

Mengenai cabaran, katanya, sebelum ini segala perbelanjaan pertubuhan anak yatim berkenaan ditanggung wang keuntungan daripada perniagaan arwah kakaknya yang membuka perniagaan jual beli kenderaan.

Dia kini berusaha menyediakan kenderaan sendiri untuk menghantar anak yatim berkenaan ke sekolah. Buat masa ini, mereka terpaksa menyewa van.

“Insya-Allah jika ada rezeki lebih kami akan sediakan kenderaan sendiri. Sebelum ini, kami ada kenderaan iaitu milik arwah kakak namun ia rosak teruk akibat kemalangan,” katanya.

Beliau mengalu-alukan individu persendirian, badan korporat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk membantu pertubuhan mereka terutama dalam memastikan keperluan harian dan keselamatan rumah anak yatim dalam keadaan baik.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 September 2017 @ 9:14 AM