BERNAMA
am@hmetro.com.my


WANITA dipercayai memandu bawah pengaruh alkohol maut selepas kereta dipandunya hilang kawalan sebelum terbabas di Jalan Sungai Bakau, Sungai Acheh, Nibong Tebal, awal pagi ini.

Ketua Polis Seberang Perai Selatan (SPS), Supt Shafee Abdul Samad, berkata kemalangan dipercayai pada 1.50 pagi.

Katanya, ketika itu Chow Wan Yee, 27, memandu Perodua Viva dari arah Sungai Bakau dan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Bagan Ajam, Butterworth.

“Mangsa pekerja swasta dipercayai baru balik makan dan minum di kawasan Sungai Bakau. Keretanya hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri jalan,” katanya.

Beliau berkata, wanita itu memandu bersendirian dan berikutan kemalangan itu maut di tempat kejadian.

Katanya, polis akan mengambil contoh darah mangsa untuk pemeriksaan lanjut.

Shafee berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Parit Buntar, Perak.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan saya meminta kerjasama orang ramai melihat kemalangan itu agar tampil di mana-mana balai polis berdekatan bagi menyalurkan maklumat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 September 2017 @ 1:33 PM