BOT yang dinaiki ketiga-tiga mangsa yang terbalik selepas dipukul ombak. Gambar kecil, Mohamad. FOTO Mohd Syafiq Ridzuan Ambak
Helmy Abd Rahman
helmy_rahman@hmetro.com.my


Marang: “Selepas bot dinaiki terbalik, kami berpaut pada bahagian bawah bot yang terlingkup ke atas. Bagaimanapun, setiap kali ombak besar datang, kami jatuh semula ke laut,” kata Mohamad Sulong, 66, seorang daripada tiga nelayan yang nyaris ‘ditelan’ laut dalam kejadian di perairan Terengganu pada Selasa lalu.

Ketika kejadian jam 5 petang kira-kira 10 kilometer dari Pantai Merchang, di sini, Mohamad bersama cucu, Mohamad Zulhari Zulkifli, 20, dan seorang awak-awak, Mohd Faizal Azmi, 33, dalam perjalanan pulang selepas menangkap ikan.

Mohamad berkata, mereka turun ke laut pada jam 7 pagi pada Selasa lalu dan selepas berpuas hati dengan tangkapan yang dianggarkan sekitar 50 kilogram, mereka mengambil keputusan untuk pulang.

“Ketika dalam perjalanan pulang, tiba-tiba ribut melanda. Mulanya saya ingatkan sempatlah sampai ke daratan.

“Namun, tiba-tiba datang ombak setinggi atap rumah membadai bot gentian kaca yang kami naiki menyebabkan bot dimasuki air dan selepas beberapa saat saja datang satu lagi ombak besar menyebabkan bot terus terbalik,” katanya ketika ditemui Harian Metro di rumahnya di Kampung Merchang, di sini, kelmarin.

Menurutnya, mereka terjatuh dalam jarak berdekatan dengan bot, sekali gus memudahkan mereka berpaut pada badan bot yang sudah terbalik.

“Mujur kami jatuh dalam jarak berdekatan antara satu sama lain. Kami kemudian berpaut pada tali yang diikat pada bot namun setiap kali datang ombak besar, kami terjatuh semula ke dalam air.

“Keadaan itu berlarutan hampir 10 kali dan saya kemudian cuba mencari cara mengatasi masalah itu dan tak lama kemudian terjumpa satu lagi tali.

“Saya ikatkan dua tali menjadi satu dan menyilangnya di kiri dan kanan bot. Kami kemudian melilit tangan pada tali berkenaan,” katanya.

Menurut Mohamad, ribut dan angin kencang mula reda kira-kira jam 9 malam pada hari sama.

“Cucu saya juga memperingatkan saya supaya tidak patah semangat dan itulah yang menjadi kekuatan untuk saya terus bertahan. Jika diikutkan, saya reda jika ditakdirkan ajal sudah sampai,” katanya.

Kata Mohamad, kira-kira jam 4 atau 5 pagi kelmarin, bot mereka dihanyutkan ke arah selatan dan agak dekat dengan daratan.

“Namun bila matahari terbit, datang pula angin barat daya yang membawa kami lebih jauh ke tengah laut. Saya kemudian ternampak sebatang kayu dan mendapat idea untuk membuat bendera menggunakan baju cucu dan awak-awak bot bagi memudahkan pasukan penyelamat menjumpai kami.

“Alhamdulillah, sekitar jam 9 pagi, bantuan yang kami nantikan tiba apabila sebuah bot nelayan ternampak bendera yang dipasang,” katanya.

Menurutnya, sebaik tiba di jeti nelayan di Kampung Merchang, dia tidak dapat menahan sebak apabila mendapat tahu kira-kira 30 bot nelayan turut serta dalam gerakan pencarian.

Menurut Mohamad, biar pun berpengalaman luas lebih 40 tahun menjadi nelayan, kejadian itu amat menginsafkan dan memberi pengajaran berguna supaya sentiasa berhati-hati.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 September 2017 @ 5:55 AM