AGUS Supriadi mengangkat tangan selepas dihukum penjara enam tahun oleh sebuah mahkamah di Jakarta semalam. FOTO EPA
AFP

Jakarta: Dua militan yang menyokong Daish masing-masing dihukum penjara enam dan 11 tahun semalam kerana merancang melancarkan serangan berani mati di Istana Presiden.

Muhammad Nur Solikin, 27, dan Agus Supriyadi antara lima militan yang ditahan pada Disember tahun lalu kerana merancang menyerang upacara pertukaran pengawal.

Dalam perbicaraan semalam, Muhammad Nur dihukum penjara 11 tahun manakala Agus dijatuhi hukuman penjara enam tahun.

Pendakwa raya sebelum ini menggesa mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun terhadap kedua-dua lelaki itu.

Kumpulan itu merancang menjadikan isteri Muhammad Nur, Dian Yuli Novi sebagai pengebom berani mati dengan membawa letupan seberat tiga kilogram yang diletakkan di dalam periuk tekanan tinggi.

Pada bulan lalu, Dian dihukum penjara tujuh setengah tahun kerana peranannya dalam komplot berkenaan.

Dian adalah wanita pertama disabitkan kesalahan merancang serangan berani mati di Indonesia, menunjukkan peranan lebih aktif wanita dalam aktiviti militan.

Polis percaya kumpulan itu mempunyai hubungan dengan Bahrun Naim, pemimpin militan Indonesia di Syria yang menyertai Daish.

Ramai warga Indonesia pergi ke Syria dan Iraq untuk menyertai Daish dan ramai dalam kalangan mereka kini kembali ke tanah air.

Pihak berkuasa Indonesia bimbang militan yang pernah berperang di Syria dan Iraq kini merancang melancarkan serangan di negara itu.

Beberapa serangan militan termasuk serangan bom di Jakarta pada Januari tahun lalu dipercayai dilakukan oleh kumpulan Daish.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 September 2017 @ 4:22 AM