WAK Doyok. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
Syafil Syazwan Jefri
syafil.syazwan@hmetro.com.my


Sebelum ini, nama ikon fesyen dan pelakon Wak Doyok pernah dikaitkan dengan bekas personaliti TV3, Azrinaz Mazhar Hakim.

Namun, jodoh dan pertemuan tidak berpihak kepada mereka dan berpisah selepas hampir melangkah ke alam rumah tangga.

“Kami sepatutnya berkahwin April lalu. Selepas berpisah, saya belum menemui pengganti. Apa yang berlaku sebelum ini pun tanpa kami rancang,” katanya.

Menurutnya, dia juga pernah menerima beberapa mesej daripada peminat wanita yang rela menjadi kekasihnya.

“Ada peminat yang mencuba nasib dan menawarkan diri untuk bercinta dengan saya. Kawan juga ada yang menyarankan beberapa calon untuk saya jadikan isteri,” katanya.

Menurut Wak Doyok atau nama sebenarnya Mohd Azwan Md Nor, dia kini fokus kepada kerjayanya terlebih dahulu.

“Ketika hampir berkahwin tempoh hari, banyak wang yang saya keluarkan untuk persiapan dan sebagainya.

“Jadi, saya perlukan masa untuk mengumpul semula wang sebelum membuat keputusan menamatkan zaman bujang,” katanya.

Ditanya mengenai kriteria wanita untuk dijadikan isteri, Wak Doyok berkata, dia tidaklah terlalu cerewet.

“Pilihan saya mudah saja. Biarlah wanita itu boleh memahami saya, kerjaya saya dan mampu menjaga ibu bapa saya dengan baik,” katanya.

Semakin selesa berlakon

Filem sulung lakonannya, Abang Long Fadil 2 turut tercalon dalam Festival Filem Malaysia ke-29, Sabtu ini.

Ditanya jika namanya tersenarai dalam senarai Top 5 untuk mana-mana kategori, Wak Doyok ada pendapatnya sendiri.

“Saya masih baru dalam industri lakonan, jadi ada perasaan takut sekiranya peminat akan mempertikai kerana baru muncul dalam satu filem.

“Tapi, jika nama tersenarai dalam Top 5, saya terima dengan hati terbuka. Mungkin ada yang akan suka dan sebaliknya. Saya tak boleh puaskan hati semua orang,” katanya.

Ditanya sama ada dia menerima tawaran lakonan lain selepas filem pertama lakonannya itu yang mendapat kutipan pecah panggung, Wak Doyok mengakui ada.

“Ada beberapa tawaran lain yang saya terima, namun belum ada keputusan daripada pihak saya. Ada juga tawaran yang diterima tidak kena dengan saya.

“Saya tidak terlalu melihat kepada nilai bayaran yang ditawarkan, sebaliknya lebih kepada kualiti sesuatu naskhah yang ditawarkan,” katanya.

Ditanya sama ada dia sanggup menukar imejnya sekiranya diminta untuk menjayakan sesuatu karakter, Wak Doyok ada pendiriannya.

“Kalau diminta mencukur misai dan jambang bagi menjayakan watak, saya rasa itu mustahil.

“Sebelum ini, ada satu syarikat yang menawarkan RM1 juta kepada saya untuk bercukur dan dana itu disalurkan kepada badan amal, tapi saya menolak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 September 2017 @ 3:18 AM