Sebahagian pengatin dinikahkan di Majlis Nikah Jama'ie Syar'ie Peringkat Negeri Perak Tahun 2017 sempena sambutan Hari Malaysia anjuran Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) di Masjid Sultan Azlan Shah. FOTO Effendy Rashid
Balqis Jazimah Zahari
am@hmetro.com.my


SERAMAI 35 pasangan selamat diijabkabulkan pada Majlis Pernikahan beramai-ramai Jama'ie Syar'ie di Masjid Sultan Azlan Shah, Ipoh, hari ini.

Program kali kelima anjuran Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) yang diadakan sempena Sambutan Hari Malaysia itu bertujuan menggalakkan perkahwinan dilaksanakan mengikut syariat Islam dan mengurangkan beban pasangan yang ingin mendirikan rumah tangga.

Majlis bermula jam 10 pagi dengan bacaan khutbah nikah disampaikan oleh Ketua Pendaftar Perkahwinan, Penceraian, Rujuk Orang Islam Negeri Perak, Zakaria Abd Razak sebelum disusuli dengan majlis ijab dan kabul.

Pasangan pengantin berusia 18 hingga 44 tahun itu turut menunaikan solat sunat sebelum meneruskan acara penyerahan mas kahwin serta majlis penyerahan tanggungjawab oleh wali dan penerimaan tanggungjawab oleh pengantin lelaki.

Semua pasangan pengantin kemudiannya diarak ke dewan jamuan makan di Institut Tadbiran Islam Perak (INTIM) untuk majlis makan beradab.

Lebih meriah apabila satu konvoi turut diadakan bagi membawa pasangan pengantin ke sebuah hotel di bandaraya itu sebelum meneruskan majlis resepsi yang akan diadakan di hotel berkenaan pada malam nanti.

Perasmian majlis itu disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah negeri, Datuk Mohd Nizar Zakaria dan turut dihadiri Pengarah JAIPk, Datuk Mohd Yusop Husin.

Sementara itu, pasangan kembar, Muhamad Hafiz Mohamad Salim dan adiknya Muhamad Afiq berusia 25 tahun bersama pasangan mereka berasa bertuah memilih detik hari bersejarah negara untuk melangsungkan hari bahagia masing-masing.

Muhamad Hafiz berkata, dia bersama-sama kembarnya membuat keputusan untuk menyertai majlis pernikahan beramai-ramai itu dan membuat persiapan dalam tempoh dua bulan.

“Pada mulanya adik dahulu yang memaklumkan bercadang untuk menyertai program ini, saya dan pasangan kemudiannya berbincang dan turut serta selepas mendapat persetujuan daripada keluarga.

“Saya dan adik kembar sebelum ini memang tidak pernah terfikir atau merancang akan berkahwin serentak pada hari yang sama, namun semua ini takdir dan jodoh,” katanya yang melangsungkan perkahwinan dengan pasangannya, Asthma Husna Zainal Abidin, 24.

Bagi adiknya, Muhamad Afiq yang melangsungkan perkahwinan dengan pasangannya Nur Izzah Zahirah Ahmad Khidir, 20, pula, susun atur program berkenaan memberi kemudahan dan manfaat kepada pasangan dalam mendirikan rumah tangga mengikut syariat Islam.

“Saya bersyukur kerana majlis berjalan lancar dan penyusunan acara mengikut tuntutan agama, meriah serta menjimatkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 September 2017 @ 4:48 PM