ARSENE Wenger. FOTO Reuters
Reuters

London: Pertembungan Arsenal dan Chelsea tahun lalu menjadi pencetus perkembangan yang berakhir dengan gelaran Liga Perdana Inggeris musim lalu menghala ke kelab Antonio Conte di Stamford Bridge.

Skuad Arsene Wenger menewaskan musuh tradisi mereka 3-0 di Emirates pada hari itu namun Conte bijak memanfaatlan pengalaman itu untuk menukar formasinya dan Chlesea terus menang 13 perlawanan berturut-turut.

Bagi Arsenal, itulah satu-satunya kemenangan sepanjang musim ke atas pasukan yang berada dalam kelompok empat teratas.

Kelab utara London itu menamatkan musim di tangga kelima, terlepas tiket ke Liga Juara-Juara buat kali pertama dalam tempoh 20 tahun dan kini kembali bertemu di Stamford Bridge Ahad ini selepas perlawanan Liga Europa menentang Cologne awal pagi ini.

Sebaliknya Chelsea mempunyai empat hari rehat selepas membelasah Qarabag dalam Liga Juara-Juara awal pagi Rabu lalu.

Biarpun suasananya berbeza berbanding tempoh sama tahun lalu, ketika Arsenal masih berada dalam Liga Juara-Juara dan Chelsea langsung tidak beraksi di Eropah, Wenger masih beranggapan urusan masih berjalan seperti biasa.

“Malam Rabu atau malam Khamis sama saja bagi kami, melainkan hanya kejohanan yang berbeza tetapi apabila anda bermain pada Rabu-Sabtu, ia sama saja seperti Khamis-Ahad,” kata jurulatih Perancis itu.

Tekanan pasti dirasai Arsenal yang mahu mengelak kekalahan liga ketiga berturut-turut selepas dibelasah Stoke City dan Manchester City, masing-masing dengan kekalahan 0-4.

Chelsea sebaliknya sekali lagi belajar daripada kesilapan mereka untuk mencatat tiga kemenangan berturut-turut selepas kalah mengejut dalam aksi pembuka tirai kepada Burnley di laman sendiri.

Selepas menang besar 6-0 ke atas kelab Azerbaijan Qarabag awal pagi Rabu, penjaga gol Chelsea Thibaut Courtois berkata mereka semakin bersemangat untuk berdepan Gunners.

“Ada kalanya memang baik untuk berdepan pasukan besar lebih awal,” katanya.

“Tahun lalu kami tidak menjadi ketika menentang Liverpool dan Arsenal tetapi musim ini kami sudah pun menewaskan Tottenham maka adalah baik untuk berdepan Arsenal sekarang.

“Kami mencatat keputusan baik. Selepas separuh masa menentang Burnley, saya fikir semua persembahan kami adalah baik. Kami menunjukkan semangat dan permainan bola sepak yang baik dan paling penting adalah rekod kemenangan yang baik.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 September 2017 @ 4:38 AM