UMMI Nazeera. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
Syanty Octavia Amry
soctavia@hmetro.com.my

Bergelar isteri tidak menghalang pelakon berbakat besar, Ummi Nazeera meneruskan karier seninya.

Ummi, 27, selamat bergelar isteri kepada Dr Mohd Izzar Anwari Abdul Khani, 30, pada 23 Julai lalu menzahirkan rasa syukur apabila suaminya bersikap terbuka dan memahami minatnya terhadap kerjaya lakonan.

“Suami tidak menghalang saya untuk terus berlakon. Namun begitu, sebagai isteri saya kenalah pilih watak yang sesuai.

“Apabila ada tawaran, saya akan merujuk suami dan berbincang adakah watak itu sesuai untuk diterima,” katanya.

Menurut Ummi, meskipun tidak menghalang minatnya, belahan jiwanya itu amat menitikberatkan soal pakaian.

Baginya tiada masalah kerana itu adalah hak suami untuk memastikan aurat isteri terjaga.

“Walaupun suami tidak kisah saya aktif berlakon, soal pakaian dia sangat jaga.

“Bagi saya itu perkara yang bagus. Lagipun, sebagai isteri siapa lagi yang perlu tegur kalau bukan suami,” katanya.

Sambung Ummi, dia juga gembira apabila suaminya sudah berpindah ke ibu kota demi kebahagiaan rumah tangga yang dibina.

Buat sementara waktu ini mereka masih menetap di rumah ibu Ummi.

“Syukur, suami yang dulu bertugas di Sarawak sudah berpindah ke sini. Lega rasanya kerana dia ada di sisi saya setiap hari.

“Malah dia mohon ditukarkan ke bahagian lain yang jadual kerjanya lebih anjal, mengikut waktu pejabat,” katanya.

Ummi berkata, apabila suami sudah berada dekat dengannya, dia pula berasa serba salah untuk keluar bekerja. Apatah lagi jika penggambaran mengambil masa lama sehingga lewat malam.

Bakal berbulan madu di Switzerland, Ummi dan suami merancang ke sana bulan depan.

Bagaimanapun, terselit rasa bimbang suaminya sukar mendapatkan cuti kerana baru berpindah ke sini.

“Masih banyak perkara yang perlu kami uruskan. Kereta suami masih dalam proses untuk dibawa ke Semenanjung.

“Malah kami juga sedang mengemas barang untuk berpindah ke rumah sendiri.

“Harap semuanya berjalan lancar dan kami dapat berbulan madu bulan depan,” katanya.

Bisik Pada Langit tampil kelainan

Yakin dengan kredibiliti dan hasil sentuhan Kabir Bhatia, Ummi menyifatkan pembabitannya dalam filem Bisik Pada Langit sebagai satu kelainan.

Skrip yang menarik kerana menerapkan elemen kekeluargaan di samping ia lebih dekat dengan penonton menarik minat Ummi untuk menghidupkan watak pelajar bernama Siti Hajar.

“Selepas melihat skrip, pengarah, senarai pelakon dan pasukan produksi, tiada sebab untuk saya tolak tawaran ini.

“Bagi saya cerita sebegini seharusnya lebih banyak dipertontonkan kepada masyarakat. Ini kerana ia berlaku dalam kehidupan seharian kita dan lebih mudah dihayati,” katanya.

Bisik Pada Langit pada asalnya filem TV yang akan disiarkan di Astro First namun diangkat ke layar perak.

Ia bakal menemui penonton di pawagam bermula 21 September ini dan turut dibintangi Beto Kusyairy, Erwin Dawson, Jalil Hamid, Naim Daniel serta Datin Fadilah Mansor.

Berkongsi keserasian bersama Erwin, Ummi berkata banyak babak mereka dilakukan di Perth, Australia dan berjalan lancar.

“Saya suka bercakap, Erwin juga banyak cakap jadi tidak ada masalah untuk kami membina keserasian.

“Begitu juga dengan pelakon lain kerana semuanya berpengalaman,” katanya.

Ummi tidak ketinggalan berkongsi cabaran terbesarnya menjayakan filem itu adalah babak nazak.

“Babak ini paling sukar untuk dilakukan kerana saya perlu banyak bermain dengan pernafasan.

“Bayangkan kerana mahu memastikan babak ini nampak realistik saya melakukan sehabis baik sehingga kaki mengalami kekejangan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 September 2017 @ 3:29 AM