ANN Grace Moses (gambar kecil, atas kanan) dan Clayronna Stessie Raymond (gambar kecil, bawah kanan) antara calon UPSR di SK Pekan Kiulu, di Kiulu. FOTO Lano Lan
Recqueal Raimi
hmkk@hmetro.com.my


MESKIPUN terpaksa berjalan sejauh enam kilometer dari kediamannya di Kampung Mantaranau, Kiulu ke Sekolah Kebangsaan (SK) pekan Kiulu, ia tidak mematahkan semangat dua calon untuk menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2017, bermula hari ini.

Ann Grace Moses, 12, dan Clayronna Stessie Raymond, 12, cukup teruja dan tidak sabar menjawab soalan walaupun terpaksa meredah perjalanan jauh bagi memastikan dapat membuat persiapan yang lengkap sebelum menduduki peperiksaan.

Ann anak ketiga daripada enam beradik berkata, dia dan rakannya, Clayronna, tidak perlu risau kerana sepanjang perjalananan mereka ditemani sekumpulan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Fuad Stephens Kiulu yang juga sekampung.

"Keadaan itu juga menyebabkan kami aktif bersukan selain pernah mewakili sekolah dalam peringkat bahagian khususnya sukan hoki," katanya ketika ditemui.

Ann bercita-cita menjadi guru matematik dan sains manakala Clayronna mahu menjadi seorang doktor bedah.

Sementara itu, berbeza dengan seorang lagi calon UPSR, Amros Danielle Justin, 12, yang berasal dari Kampung Borombon, bersyukur tinggal di asrama desa yang dibina penduduk kampung supaya dapat memudahkan murid berulang-alik ke sekolah.

"Jarak rumah ke sekolah sejauh lima kilometer dan kami 15 murid dari tahun satu hingga enam dijaga ibu bapa secara bergilir-gilir bagi menjaga keselamatan kami ketika di asrama.

"Penduduk sanggup berkorban tenaga membina asrama yang terletak hanya 300 meter dari sekolah.

"Sudah pasti kami akan tidak sia-siakan harapan mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 September 2017 @ 11:15 AM