ANGGOTA penyelamat mencari mangsa yang mungkin terperangkap di Juchitan de Zaragoza, Mexico. - AFP

Mexico City: Angka kematian akibat gempa bumi yang melanda Mexico Khamis lalu meningkat kepada sekurang-kurangnya 90 orang selepas anggota penyelamat di Oaxaca, selatan negara itu berkata, 71 orang maut di negeri itu.

Jurucakap pihak berkuasa perlindungan awam negeri, Jesus Gonzalez berkata: “Seramai 71 maut, hanya di Oaxaca.”

Sekurang-kurangnya 15 orang mati di negeri bersebelahannya, Chiapas, manakala empat yang lain di Tabasco.

Gempa dengan magnitud 8.1 itu melanda di pesisiran pantai Chiapas dan lebih kuat berbanding bencana pada 1985 yang memusnahkan ibu negara, Mexico City serta membunuh ribuan orang.

Usaha mencari dan menyelamat diteruskan semalam dengan ramai penduduk masih tidak berani pulang ke rumah masing-masing kerana bimbang kediaman roboh akibat gegaran susulan. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 September 2017 @ 8:51 AM