TSAI berdiri di hadapan keranda kekasihnya ketika majlis perkahwinan mereka berlangsung. FOTO Agensi
Agensi

Yuanlin City, Taiwan: Seorang lelaki mengambil keputusan berkahwin dengan mayat kekasihnya yang meninggal dunia sebelum majlis perkahwinan mereka berlangsung.

Suasana sedih menyelubungi majlis ‘perkahwinan’ itu ketika Tsai Shang-chen menyarungkan cincin ke jari Chen Yi-chi yang berada di dalam keranda.

Chen, 23, yang hamil lima bulan meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya pada hujung bulan lalu.

Pasangan itu yang beberapa tahun bercinta merancang melangsungkan perkahwinan pada awal bulan depan.

Tsai, 30, dan Chen juga sudah membeli baju pengantin, menempah dewan dan menjemput tetamu untuk majlis perkahwinan mereka.

Lelaki itu yang bekerja sebagai pemandu lori memberitahu, mereka juga sudah merakamkan gambar perkahwinan, yang menjadi amalan biasa di Taiwan.

Chen bekerja sebagai jururawat di sebuah klinik gigi dan pasangan berkenaan sudah lama merancang perkahwinan mereka.

Dalam majlis itu yang berlangsung di sebuah rumah mayat, Tsai dilihat memakai kot manakala Chen dipakaikan gaun pengantin yang berwarna putih.

Rakan dan keluarga dilihat menangis sambil memegang belon berwarna merah jambu dan putih, yang dirancang untuk majlis perkahwinan pasangan itu.

“Majlis ini adalah satu cara untuk menghormati kekasih saya,” kata Tsai.

Gambar perkahwinan pasangan itu menjadi tular selepas Tsai memuat naik di media sosial dan mendapat pelbagai reaksi daripada pengguna.

Bagi masyarakat China, perkahwinan dengan mayat adalah satu amalan biasa yang dikenali sebagai perkahwinan hantu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 September 2017 @ 5:09 AM