CHAMBERLAIN (kanan) giat berlatih menjelang pertemuan dengan City. FOTO Liverpool Twitter
AFP

London: Alex Oxlade-Chamberlain tidak sabar untuk memulakan tugasnya di bawah kendalian pengurus Liverpool Jurgen Klopp dan mungkin membuat penampilan pertama dalam aksi tumpuan Liga Perdana Inggeris menentang Manchester City malam ini.

Pemain tengah England itu menolak tawaran kontrak baru daripada Arsenal serta bidaan juara bertahan Chelsea untuk menyertai Liverpool dengan kontrak bernilai £35 juta (RM192.8 juta) minggu lalu.

Dia berkata beraksi bersama skuad hebat Klopp menjadi pendorong utama dan dia tidak mengharapkan aksi lebih mendebarkan selain penampilan sulung berdepan City yang dikendalikan Pep Guardiola.

“Apabila anda melihatnya, anda dapat melihat semangatnya dan bagaimana beliau prihatin terhadap perlawanan,” kata Oxlade-Chamberlain, 24, yang digelar ‘The Ox’, memberitahu laman web Liverpool.

“Perkara yang paling menonjol bagi saya adalah hubungan beliau dengan pemain, bagaimana rapatnya hubungan beliau dengan pemain baik di dalam mahu pun di luar padang.

“Ia begitu hebat dan sudah pasti satu kelebihan besar apabila anda mahu mempamerkan peningkatan, pentingnya hubungan baik dengan pengurus.

“Kemudiannya, tentulah cara pemainnya beraksi. Perkara ini memberi inspirasi buat sama dan menjadi sebab penting, mungkin bukan sebab utama dan saya rasa ia tempat sesuai bagi saya.”

Melengkapkan kontrak perpindahan Oxlade-Chamberlain adalah satu daripada dua urusan yang berjaya diselesaikan Liverpool pada hari terakhir perpindahan, selain mengekalkan khidmat Philippe Coutinho.

Coutinho menyerahkan permohonan perpindahan sebelum musim bermula dengan harapan mahu menyertai Barcelona tetapi Liverpool menolak tiga kali tawaran lumayan daripada gergasi Catalan itu.

Selepas kembali dari Brazil untuk aksi antarabangsa susulan berehat panjang akibat kecederaan belakang, Coutinho mungkin kembali beraksi di Stadium Etihad.

Biarpun pemilik Fenway Sports Group bertegas bahawa Coutinho tidak akan dijual untuk berapa harga sekalipun, ketiadaannya di padang langsung tidak dirasai Liverpool.

Kejayaan membelasah Arsenal 4-0 pada aksi terakhir membolehkan mereka berada di tangga kedua di belakang Manchester United dan mereka menewaskan Hoffenheim 6-3 selepas dua perlawanan untuk mengesahkan tiket ke peringkat kumpulan Liga Juara-Juara.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 September 2017 @ 4:41 AM