DARI kiri, Adam Nor Azlin, Adib Zainudin, Syamer Kutty Abba, Jafri Firdaus Chew, Nor Azam Azih dan N Thanabalan. FOTO Osman Adnan, Luqman Hakim Zubir, Owee Ah Chun, Hairul Anuar Rahim, Asyraf Hamzah
Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Enam pemain muda negara kini menjadi buruan beberapa kelab liga utama Thailand selepas mempamerkan aksi cemerlang pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur bulan lalu.

Pemain berkenaan ialah pertahanan Adam Nor Azlin (Selangor) dan Adib Zainudin (FELCRA FC), tengah Syamer Kutty Abba (Pulau Pinang), Nor Azam Azih (Pahang) dan penyerang Jafri Firdaus Chew (Pulau Pinang) dan N Thanabalan (FELCRA FC).

Perkara ini dimaklumkan Pengarah Bakat Sukan MVP Sports Agency Hafizan Halim selepas beliau dihubungi pencari bakat beberapa kelab Liga 1 Thailand selepas final Sukan SEA di Stadium Shah Alam yang menyaksikan skuad bawah 22 tahun (B-22) negara tewas 0-1 kepada juara bertahan Thailand.

“Memang ada beberapa kelab yang bertanyakan mengenai pemain muda kita yang beraksi pada Sukan SEA lalu. Mereka tertarik dengan kemampuan pemain kita dan berminat untuk mengadakan perbincangan dengan pemain berkenaan selepas ini.

“Sebelum ini, pencari bakat kelab di Thailand ini ada datang menyaksikan pemain kita beraksi pada pusingan kelayakan kejohanan AFC B-23 di Bangkok Julai lalu, namun ketika itu pemain kita gagal memberikan aksi baik ketika tewas kepada Thailand (0-3).

“Tapi kali ini pencari bakat ini mula yakin dengan kebolehan pemain tempatan selepas melihat permainan mereka di Sukan SEA.

“Bagaimanapun, semuanya masih awal, terpulang kepada mereka untuk mengadakan rundingan dengan pemain serta kelab masing-masing bagi musim depan,” katanya kepada Arena Metro semalam.

Bagaimanapun Hafizan enggan mendedahkan nama kelab terbabit, tetapi mengesahkan kelab itu daripada liga utama di Thailand dan berpangkalan di Bangkok dan Chonburi.

Kelab Liga 1 Thailand kini sedang mencari seorang pemain import ASEAN bagi musim 2018 selepas peraturan baru ditetapkan badan penyelia liga itu Premier League Thailand (PLT) sebelum ini.

Peraturan baru itu menyaksikan perubahan daripada segi kuota pemain import iaitu 3+1 (negara ahli AFC) +1 (ASEAN).

“Ini perkembangan baik kepada pemain tempatan jika dapat bermain di Thailand kerana kita akui liga di negara itu terbaik di rantau ini,” kata Hafizan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 September 2017 @ 4:24 AM