FAM perlu rancang awal skuad skuad bawah 22 tahun (B-22) negara yang bakal mengharungi pusingan akhir Kejohanan AFC B-23 di China. Gambar kecil, Serbegeth Singh. FOTO Hairul Anuar Rahim & Roslan Khamis
Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Bekas pemain kebangsaan, Serbegeth Singh mengingatkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) supaya tidak membuat persiapan ala ‘Sukan SEA’ terhadap skuad bawah 22 tahun (B-22) negara yang bakal mengharungi pusingan akhir Kejohanan AFC B-23 di China, Januari tahun depan.

Beliau berkata, kejohanan itu mempunyai tahap lebih tinggi berbanding liga tempatan dan berharap isu pemain tidak mendapat pelepasan ketika pusingan kelayakan di Bangkok, Julai lalu tidak berulang.

“FAM kena merancang awal mengenai persiapan pasukan. Mereka tidak boleh buat persiapan seperti Sukan SEA sebelum ini dengan latihan lebih kurang seminggu saja.

“Memang liga belum bermula pada Januari, tapi mungkin ada pasukan yang tidak mahu melepaskan pemain kerana sibuk dengan latihan pramusim. Jadi kita perlu jadikan misi skuad B-22 di China ini sebagai agenda nasional.

“Mereka perlu berlatih bersama lebih lama sebelum ke China. Pemain perlu dilepaskan kerana semua pasukan perlu sedar, mereka akan mendapat pulangan apabila pemain menimba pengalaman bermain di kejohanan yang tahapnya lebih tinggi daripada liga tempatan,” kata Serbegeth yang turut dikenali sebagai Shebby kepada Arena Metro, semalam.

Skuad B-22 negara kendalian Datuk Ong Kim Swee melakar sejarah mara buat kali pertama ke pusingan akhir Kejohanan AFC B-23 selepas layak secara automatik pada kempen kelayakan di Bangkok.

Namun ketika itu, enam pemain, Nor Azam Azih, Matthew Davies (Pahang), Muhammad Haziq Nadzli dan Safawi Rasid (Johor Darul Ta’zim), S Kumaahran dan Syamer Kutty Abba (Pulau Pinang) tidak mendapat pelepasan pasukan atas alasan jadual padat Liga Malaysia.

Pada saingan Sukan SEA, semua pemain berjaya dikumpulkan dalam masa singkat dan meraih pingat perak selepas tewas 0-1 kepada Thailand pada aksi final di Stadium Shah Alam.

Kim Swee sebelum ini menyatakan bahawa beliau akan memanggil semula pemain bagi latihan pusat pada Disember namun kedudukannya juga masih belum pasti apabila kontraknya bakal berakhir pada bulan itu.

“FAM harus membuat keputusan terbaik dalam menentukan siapa yang akan mengendalikan pasukan nanti. Apa yang penting adalah persiapan rapi ke sana bukan ‘ad hoc’. Latihan pusat penting tapi bukan di Malaysia tapi pergi berlatih di tempat yang cuaca yang hampir sama di China kerana pada Januari cuaca sejuk di sana,” kata Shebby yang kini menjadi pengulas bola sepak terkenal bersama stesen televisyen luar negara dan tempatan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 September 2017 @ 4:59 AM