Iskandar Shah Mohamed
iskandar@hmetro.com.my


PEKERJA syarikat kurier ditahan polis, semalam bagi membantu siasatan kes Lans Koperal yang maut ditetak dan ditembak di Subang Jaya, Khamis lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, lelaki berusia 35 tahun itu yang berasal dari Kelantan ditahan di sekitar Subang Jaya pada 11.15 malam.

"Kita (polis) setakat ini masih menjalankan siasatan secara menyeluruh mengenai kes berkenaan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 12 September depan," katanya di Shah Alam, hari ini.

Menurut beliau, pihaknya turut akan membuat keputusan dalam tempoh terdekat mengenai reman suspek pertama iaitu pekerja kilang yang ditahan di Balai Pelepasan Domestik Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang, Jumaat lalu.

Kata Fadzil, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kes itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Hanizam Husin di talian 010-5762981 untuk tindakan lanjut.

Dalam kejadian 3.25 pagi itu, Lans Koperal Valentino Mesa, 29, yang bertugas di kaunter Balai Polis Pinggiran USJ ditemui terbaring dengan kesan tembakan di badan selain tetakan di belakang kepala oleh anggota Unit Kereta Peronda (MPV) yang baru tiba ke balai berkenaan selepas menjalankan rondaan rutin.

Seorang lelaki yang juga pekerja kilang ditahan di Balai Pelepasan Domestik KLIA pada 1 pagi Jumaat lalu, kerana dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.

Lelaki berusia 34 tahun itu dipercayai sudah menaiki pesawat sementara menunggu untuk berlepas ke Sibu, Sarawak, sebelum dikesan dan ditahan polis.

Suspek dibawa ke IPD Subang Jaya oleh Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9P) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Subang Jaya untuk direman tujuh hari.

Berita berkaitan:

Tak jumpa pistol

Cekup suspek kes Valentino di KLIA

Valentino maut di muncung pistol sendiri

Lans Koperal ditembak, ditetak

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 September 2017 @ 8:39 PM