Asrizal Aris
asrizal.aris@hmetro.com.my


 

REMAJA lelaki lembam berusia 15 tahun Muhammad Adib Ammar Ahmad Hafiz, yang dilaporkan hilang sejak semalam sudah pulang ke rumah kira-kira jam 1.15 tengah hari tadi.

Perkara itu dimaklumkan ibu saudaranya Olly Faridah Abdullah, 59, ketika ditemui di kawasan pangsapuri rumah mereka di Taman Medan Cahaya, Petaling Jaya, yang baru pulang dari mengambil anaknya yang lain di sekolah.

Olly Faridah berkata, dia menerima panggilan telefon daripada anak lelakinya di rumah yang menyatakan Muhammad Adib sudah pulang dalam keadaan keletihan dan kelaparan.

"Sebaik masuk ke rumah, dia terus minta makanan kemudian masuk tidur. Mungkin malam tadi dia tidak makan dan tidak tidur.

"Saya sangat bersyukur lalu menangis bersendirian. Meskipun Adib adalah anak saudara saya, dia tetap seperti anak kandung saya sendiri kerana saya menjaganya serta dua adiknya sejak kecil dengan keadaan begitu (lembam). 

"Tempoh 22 jam dia hilang, saya tidak makan dan tidak tidur kerana terlalu risaukan dia. Malah saya tidak henti mencarinya di sekitar kawasan perumahan berdekatan," katanya yang bekerja sebagai guru sekolah memandu.

Menurutnya, dia tidak akan mengungkit atau bertanya kepada Adib mengenai isu ponteng kelas mengaji agama yang dipercayai menjadi punca Adib yang juga orang kurang upaya (OKU) masalah pembelajaran bertindak menghilangkan diri.

"Budak 'istimewa' ini sensitif. Kita perlu beri perhatian penuh dan tidak memberi tekanan kepadanya supaya tidak bertindak di luar kawalan.

"Dalam kes ini, meskipun saya tidak memarahinya dan menegur dengan baik, dia memberontak kerana dia tahu dia sudah menipu saya. 

"Namun saya serta adik beradiknya yang lain tidak akan mengungkit lagi mengenai isu ponteng dan menganggap perkara itu tidak pernah terjadi," katanya.

Terdahulu Harian Metro melaporkan Muhammad Adib menghilangkan diri sejak jam 2.30 petang semalam sebaik turun daripada kereta selepas Olly Faridah mengambil remaja itu dari sekolah.

Muhammad Adib difahamkan melakukan perkara itu apabila ditegur ibu saudaranya mengenai tindakannya ponteng kelas agama.

 

Berita berkaitan:

Baliklah nak

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 September 2017 @ 5:11 PM
Laporan HM Online berikutan kehilangan Adib sebelum ini. (Gambar kecil) Olly Faridah.