AHMAD Faiz berbual bersama Datuk Seti Isris Jusoh. FOTO Mohammad Ishak
Mohammad Ishak
am@hmetro.com.my


PENGIDAP Cerebral Palsy (CP) dan juga pelajar terbaik Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2016 yang mendaftar di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Gong Badak di Kuala Nerus, semalam, akan dibenarkan untuk mengikuti kuliah di rumah tanpa perlu berada di dewan kuliah seperti penuntut lain.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, pihaknya akan memberi keistimewaan kepada penuntut istimewa, Ahmad Faiz Ibrahim, 19, terbabit untuk mengikuti pengajiannya dalam talian dan hanya perlu mengikuti kuliahnya di rumah.

Menurutnya, Ahmad Faiz juga akan dibekalkan dengan komputer riba sumbangan Menteri Besar Terengganu untuk kemudahannya belajar, manakala UniSZA akan membuat pemantauan terhadap penuntut terbabit.

"Ahmad Faiz adalah pelajar pertama diberi kemudahan seumpama ini, dia mempunyai kebolehan luar biasa dan mampu bersaing dengan pelajar normal," katanya.

Remaja berkenaan dibawa khas oleh UniSZA ke majlis Perasmian Asrama UniSZA di Taman Ilmu Tembila, dekat Jertih hari ini, sebelum bertemu dengan Idris yang turut hadir di majlis berkenaan.

Ahmad Faiz, anak sulung daripada empat beradik berasal Kampung Demit di Kubang Kerian, Kelantan adalah antara 1,416 penuntut baru yang mendaftar di UniSZA semalam.

Remaja berkenaan mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam (Usuluddin) di Falkulti Pengajian Kontemporari Islam UNISZA.

Berikutan mengidap CP sejak lahir, Ahmad Faiz hanya berkerusi roda dan memerlukan perhatian sepenuhnya hingga menyebabkan ibunya, Zarina Mohd Kasim, 43, merancang untuk menyewa rumah berhampiran universiti berkenaan bagi membantunya mengikuti kuliah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 September 2017 @ 6:26 PM