ANGGOTA Bomba dan Penyelamat berusa membawa pengunjung ke kawasan selamat. FOTO Omar Osman dan Zuliaty Zulkiffli
Omar Osman dan Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my


EMPAT belas pengunjung diselamatkan selepas terperangkap di air terjun Batu Hampar, Yan dan Pusat Rekreasi Tupah, dekat Merbok, Sungai Petani.

Mereka antara 12 hingga 47 tahun terperangkap berikutan berlaku gelombang air mengejut atau kepala air yang berlaku di kedua-dua pusat riadah itu pada kira-kira 4 petang.

Enam sekeluarga terdiri suami isteri berusia 45 dan 47 tahun dan empat anak lelaki mereka (12-16 tahun) terperangkap ketika kepala air melimpah Batu Hampar, pada 4.35 petang.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yan, Pegawai Bomba Bahari Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian itu pada 4.45 petang.

Katanya, sepasukan anggota terdiri daripada lima amggota, termasuk penyelia tiba di lokasi pada 4.52 petang.

Beliau berkata, mereka mendapati air mengalir deras di kawasan perkelahan itu setiba mereka di lokasi manakala hujan renyai.

"Ketika itu kami nampak ada enam mangsa terperangkap di kawasan air terjun. Anggota tidak dapat turun ke kawasan itu kerana air terlalu deras.

"Tapi, anggota kami berjaya membawa mereka keluar dari kawasan itu menggunakan jalan darat di tepi sungai itu. Mereka selamat dan tiada kecederaan,” katanya.

Bahari berkata, enam sekeluarga itu dipercayai pulang bercuti ke kampung mereka di Guar Chempedak.

Sementara itu, katanya, empat lelaki, dua perempuan berusia 11 hingga 39 tahun dan budak lelaki, 6, turut terperangkap di Pusat Rekreasi Tupah.

Komander Operasi BBP Sungai Petani, Penguasa Bomba Kanan, Mohd Hafizul Ishak, berkata bomba menerima panggilan kecemasan pada 4.42 petang.

Katanya, satu jentera dan Unit Penyelamat dan Paramedik (EMRS) serta sembilan anggota ke lokasi.

"Operasi menyelamat terpaksa dilakukan berperingkat berikutan arus sungai deras. Namun semua mereka diselamatkan dan operasi tamat 6.15 petang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 September 2017 @ 10:22 PM