IHSAN Bomba dan Penyelamat Malaysia
Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my


ANGGOTA Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tangkak menyelamatkan lembu betina terperangkap dalam perigi di Kampung Seberang Gajah dekat Tangkak, Johor, hari ini.

Ketua Operasi, Malley Salim, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 2.05 petang.

Beliau berkata, setibanya di lokasi berkenaan, lembu itu didapati terperangkap dalam pergi yang dalamnya melebihi kira-kira dua meter.

"Perigi itu sangat dalam, tetapi kita percaya lembu itu tersekat pada kedalaman kira-kira 0.9 meter mengikut kepada ketinggi batu-bata yang didirikan bagi meninggikan tebing perigi itu.

"Opersi menyelamt kira-kira 20 minit. Kita memecahkan batu-bata terlebih dahulu bagi membolehkan lembu itu berada pada paras yang hampir dengan tanah," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Menurutnya, seorang anggota bomba kemudian turun ke dalam perigi bagi mengikat tali pada haiwan itu sebelum anggota lain menarik tali bagi membawa lembu itu naik.

Katanya, lembu betina itu dipercayai terjatuh ke dalam perigi yang terdapat dalam kandang tetapi tidak bertutup.

"Perigi itu memang ditempatkan di dalam kandang untuk kegunaan pemilik sekiranya ketiadaan air.

"Mungkin lembu ini ke perigi itu untuk minum, namun akibat tidak bertutup, ia dipercayai terjatuh," katanya yang memaklumkan lembu diselamatkan tanpa sebarang kecederaan.

Katanya, operasi dengan kekuatan lapan anggota itu kemudian ditamatkan pada 3.15 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 September 2017 @ 6:40 PM