FOTO Muhd Rozaini Zulkepli
Mohd Ruzaini Zulkepli
hmkk@hmetro.com.my


DUA anak kapal maut manakala tiga penumpang melecur teruk selepas bot kargo membawa muatan petrol dinaiki mereka meletup di perairan Pulau Banggi, Kudat.

Mangsa dikenali Jafar Janidil, 61, dan Shalan Ashadan, 27, meninggal dunia akibat melecur dalam kejadian pada 7.03 malam semalam.

Jasad kedua-duanya kini berada di Klinik Kesihatan Karakit, Pulau Banggi.

Tiga penumpang cedera adalah Azmain Nawali, 45, dan dua anak Jafar iaitu Mohd Kamarudin, 26, dan Mohamad Nasaruddin, 10. Mereka kini berada dibawa ke Hospital Kudat untuk dirawat melecur.

Pengarah Maritim Wilayah Sabah dan Labuan Laksmana Muda Maritim Mohd Zubil Mat Som, berkata anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Maritim Kudat dikejarkan ke lokasi kejadian untuk bantuan kecemasan.

"Difahamkan bot kargo yang membawa muatan petrol kira-kira 10,000 liter itu terbakar dan meletup di 0.3 batu nautika berhampiran perairan Pulau Banggi.

"Ketika kejadian itu bot berkenaan sedang berlabuh di perairan Kampung Padang, Pulau Banggi, untuk memindahkan minyak," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, letupan itu menyebabkan lima individu melecur dengan teruk sehingga dua daripadanya meninggal dunia.

Beliau berkata, semua tekong, kru serta penumpang bot kargo berkenaan adalah warga tempatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Ogos 2017 @ 2:25 PM