BABY Shima. FOTO Nizar Hafiz Mustafa
Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my

Bekas anak didik Edry KRU ini pernah beberapa kali cuba untuk mencipta nama dalam bidang nyanyian menerusi beberapa single.

Mungkin rezeki belum berpihak kepadanya apabila gagal menyerlah.

Namun itu, bukan alasan untuk Baby Shima atau nama sebenarnya Nor Ashima Ramli, 25, berputus asa.

Sebaliknya dia nekad untuk terus berjuang bagi menggapai impian bergelar penyanyi terbaik.

Oleh itu, tempoh tujuh tahun berada dalam industri muzik selepas menjuarai pertandingan Bintang Idola BH 2010 dianggap masih baru jika mahu dibandingkan dengan penyanyi sedia ada.

Namun, kemilau bintang kian menyinari kerjaya Baby Shima apabila dia berjaya mencipta nama di Indonesia menerusi genre dangdut.

Tawaran daripada syarikat rakaman dangdut terbesar di sana iaitu Nagaswara tidak dipersiakan. Baby Shima menganggap ia satu peluang keemasan walaupun terpaksa mencari makan di negara orang.

“Saya mengikat kontrak selama tiga tahun bermula Februari lalu. Alhamdulillah saya baru keluar dengan single Makan Hati ciptaan Yogi. Agak mengejutkan juga apabila single ini mendapat sambutan baik di sana.

“Pada mulanya saya agak bimbang dengan penerimaan peminat muzik dangdut di sana. Bukan apa, di sana ramai penyanyi dangdut yang bagus. Namun, hasil kerja keras pihak pengurusan dengan melakukan pelbagai aktiviti promosi di TV dan radio, lagu ini semakin dekat di hati peminat di sana.

“Cuma buat masa sekarang saya berulang-alik ke sana. Lagipun, saya masih mendapat tawaran menyanyi di sini. Jadi sayang jika saya lepaskan setiap peluang yang ada,” katanya.

Baby Shima berkata, berada di bawah satu bumbung dengan penyanyi dangdut popular di sana seperti Zaskia Gotix, Wali Band dan Siti Badriah adalah satu penghargaan untuknya.

Malah, dia menjadikan peluang itu sebagai kesempatan untuk menimba ilmu dalam muzik dangdut sementalah sebelum ini berasal dari genre pop.

“Saya sedar persaingan dalam muzik dangdut di sana sangat besar. Jadi, saya cuba tampilkan kelainan dengan menyanyi dan menari. Ternyata ia berjaya apabila peminat di sana mudah mengenali saya.

“Tujuan saya bukannya nak bersaing siapa lebih bagus, tetapi lebih kepada nak menunjukkan bakat yang ada. Mungkin rezeki saya lebih di sana. Jadi tidak salah jika saya merebut peluang itu. Kalau bukan sekarang bila lagi?

“Saya juga berterima kasih dengan penyanyi dangdut yang ada di bawah syarikat Nagaswara kerana mereka banyak memberikan nasihat dan tip,” katanya.

Menurut Baby Shima, kemunculannya di sana sedikit sebanyak mengubah persepsi peminat iaitu penyanyi dangdut perlu tampil imej seksi.

“Saya cuba menjadi diri sendiri dan kekalkan imej sebegini. Alhamdulillah pihak pengurusan okey dan mereka tidak mendesak saya. Peminat juga menyukai imej saya,” katanya.

Tak salahkan peminat tempatan

Keputusan Baby Shima menyertai syarikat rakaman di Indonesia satu percaturan terbesar dalam diri dan kerjayanya.

Oleh itu, Baby Shima perlu fokus dan tidak boleh bersikap sambil lewa. Dalam fikirannya sekarang, dia perlu terus berjalan ke hadapan kerana yakin pilihan kali ini tepat pada waktunya.

“Saya tidak pernah menyalahkan peminat di sini. Malah saya juga tidak menuding jari kepada mana-mana pihak. Saya percaya kepada rezeki Allah.

“Jadi apabila memulakan kerjaya di sana, saya berharap ia memberi satu sinar baru dalam diri dan kerjaya. Sasaran sekarang, saya mahu terus diterima dan kerjaya lebih berkembang.

“Saya berterima kasih kepada peminat di sana kerana menerima kehadiran saya biarpun berasal dari Malaysia,” katanya.

Pada masa sama, Baby Shima sudah boleh tersenyum lebar apabila berjaya mengumpul peminat tersendiri menerusi penubuhan kelab peminat Sahabat Baby Shima.

“Saya juga tidak menyangka ada peminat yang sanggup menubuhkan kelab untuk saya. Ia satu penghargaan untuk saya. Sebagai penyanyi baru di sana, saya sangat terharu,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Baby Shima kini dalam proses untuk merakamkan single kedua iaitu genre pop.

“Single kedua ini syarikat rakaman nak cuba lagu pop pula. Mereka nak melihat sambutan peminat macam mana. Sekiranya lagu dangdut lebih diterima, jadi saya kekal dengan muzik itu, begitu juga sebaliknya.

“Secara peribadi saya okey saja kerana boleh menyanyikan apa saja jenis lagu. Malah saya berterima kasih kepada syarikat rakaman kerana sudi memberi peluang menonjolkan bakat dan kelebihan yang ada,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Ogos 2017 @ 7:47 AM