SALMAH bersama anak yang menemaninya mengerjakan ibadat haji di Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya, semalam. FOTO Zunnur Al Shafiq
Siti Fatimah Nasir
am@hmetro.com.my


Kelana Jaya: “Saya tidak sangka dapat panggilan haji dalam masa terdekat kerana pada mulanya saya hanya mencuba nasib dengan mendaftar haji menerusi kuota khas bagi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) arwah suami,” kata pesara polis, Salmah Bador, 71.

Dia antara 1,100 jemaah haji terpilih yang menerima kuota penerbangan tambahan khas ATM oleh kerajaan Arab Saudi yang berlepas ke Makkah pada jam 5 petang semalam.

Salmah berkata, selepas kematian arwah suami, Anuar Mohd Yusoff yang juga bekas tentera ATM, dia pada mulanya hanya mencuba nasib menggunakan kuota haji yang diberi kepada veteran atau anggota ATM walaupun suaminya sudah tiada.

“Saya mula mendaftar haji menerusi kuota khas haji ATM pada 2015 dan mendapat panggilan haji pada Jun lalu.

“Sebaik menerima panggilan, hanya perkataan syukur diungkapkan kerana tidak menyangka menerima panggilan menjadi tetamu Allah menggunakan kuota haji ATM yang diberi kepada arwah suami,” katanya ketika ditemui di Kompleks Tabung Haji, di sini, semalam.

Dia yang menetap di Kuching, Sarawak berkata, dia berterima kasih kepada Tabung Haji (TH) atas subsidi penuh yang diberikan kepada anggota dan veteran ATM sekali gus memberi peluang kepadanya untuk mengerjakan ibadat haji menggunakan kuota yang diberi terhadap arwah suami.

“Rasa gembira yang tidak terkata sebaik menerima panggilan haji menerusi kuota ini kerana ia adalah hadiah terindah dalam hidup saya selepas membuat rayuan lima kali kepada TH untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci.

“Alhamdulillah, rezeki menunaikan Rukun Islam kelima ini akhirnya dimakbulkan Allah SWT tanpa perlu mengeluarkan kos banyak,” katanya.

Salmah berkata, menerusi kuota tambahan haji ATM yang ditawarkan itu, dia membawa anak bongsunya, Azlifaisal Anuar, 37, yang juga pegawai tentera sebagai pengiring kepadanya sepanjang mengerjakan haji.

“Saya tidak mempunyai masalah kesihatan tetapi hanya mengalami sakit di lutut menyebabkan pergerakan saya terbatas dan sukar berjalan.

“Jadi, doktor menyarankan saya membawa anak sebagai pengiring supaya selesa di samping dapat mengerjakan haji dengan lancar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Ogos 2017 @ 8:15 AM