STACY. FOTO Wan Izhar
Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my

Selepas melahirkan anak perempuan pada 17 Februari lalu, penyanyi Ummu Shaikhah Stacy Anam atau Stacy mengambil keputusan mendapatkan bentuk badan cergas atau ‘fit’ sebelum kembali aktif menyanyi.

Tidak sekadar bercakap kosong, Stacy mengotakan janjinya itu apabila berjaya mendapatkan berat badan ideal iaitu 52 kilogram dalam tempoh empat bulan menerusi senaman, diet pemakanan dan tarian.

Serentak dengan itu, Stacy juga baru saja melancarkan single terbarunya berjudul Cakap Ke Tangan, Jumaat lalu.

Pelancaran lagu itu sekali gus memberi gambaran juara program Akademi Fantasi musim keenam ini kembali aktif dalam bidang nyanyian selepas berehat hampir enam bulan.

“Aktiviti menari banyak membantu turunkan berat badan saya. Jika tidak berlatih dengan penari, saya buat sendiri di rumah. Memang agak susah juga nak mendapatkan berat badan ideal. Namun disebabkan ingin kembali aktif, saya kena gigih juga.

“Mulai Sabtu lalu saya mula menjayakan persembahan pentas seperti dulu iaitu menyanyi dan menari. Saya nak buktikan kepada orang ramai saya masih boleh menyanyi dan menari dengan baik selepas bersalin.

“Pada masa sama, saya berharap kemunculan single ini membuka laluan untuk terus aktif. Saya mengambil keputusan kekalkan identiti muzik kerana berasakan muzik ini masih ada penggemarnya,” katanya.

Berkongsi mengenai lagu Cakap Ke Tangan itu, Stacy berbangga apabila lagu itu berjaya menduduki carta Top 10 di aplikasi muzik iTunes sejak mula dilancarkan.

Stacy berkata, lagu itu dirakamkan selepas Aidilfitri lalu dan beberapa kali diubah bagi mendapatkan hasil terbaik.

“Lagu ini boleh dikatakan agak ‘last minute’ juga. Sebelumnya saya sudah cuba cari lagu yang sesuai, tetapi tidak ada. Jadi saya terus minta Akim buatkan dan dia bersetuju. Cuma lagu ini beberapa kali diubah dari segi muzik kerana nak sesuaikan dengan konsep muzik saya.

“Hasilnya saya sangat berpuas hati. Tambahan pula saya dapat membabitkan diri dalam proses menyiapkan lagu ini. Mujur Akim jenis yang okey apabila setiap kali saya minta dia tukar atau buat sedikit penambahbaikan.

“Saya puji Akim dan Laq selaku penulis lirik kerana berjaya keluar dari identiti muzik kumpulan The Majistret. Lagu saya ini adalah sentuhan pertama mereka dalam genre rancak,” katanya.

Sama-sama urus anak

Dalam kesibukan Stacy merencana kerjaya nyanyiannya semula, ibu kepada dua anak perempuan ini tetap menjalankan tanggungjawab mengurus anak.

Menurut Stacy, dia selesa menguruskan sendiri anak tanpa mengharapkan pembantu rumah.

“Buat masa sekarang ibu saya ada tolong bersama menjaga anak. Kalau dia pulang ke Sabah, ia menjadi tugas saya sepenuhhya. Bukan tak percayakan pembantu rumah, tetapi pengalaman anak pertama membuatkan saya fobia. Jadi lebih baik saya urus dan jaga sendiri.

“Saya juga tidak kisah jika perlu bawa anak ke tempat kerja. Sekurang-kurangnya anak ada depan mata. Jika ada kecemasan pun, saya boleh bergegas segera. Pendek kata kepuasan itu lebih dirasai jika menguruskan sendiri anak,” katanya.

Stacy berkata, dia juga tidak terlalu bergantung harap dengan Akim kerana suaminya itu terikat dengan jadual kerja yang padat.

“Saya sangat memahami jadual kerja Akim. Saya tak nak bebankan dia. Cuma kalau kebetulan Akim di rumah, dia yang tolong jaga anak. Jika dia bekerja, tugasnya pada sebelah malam pula.

“Dalam perkara ini kami saling memahami. Kami tidak mahu isu anak dijadikan masalah. Apa yang penting masing-masing menjalankan tanggungjawab dengan baik. Itu sudah memadai,” katanya.

Tidak minta hadiah

Tanggal 18 Ogos lalu genap 27 tahun usia Stacy. Seperti kebiasaan pada setiap tahun dia diberikan kejutan oleh peminat.

Berbeza sedikit tahun ini apabila kejutan hari jadi itu turut dibantu oleh Akim, anggota The Majistret dan ahli keluarga.

Ditanya apakah hadiah istimewa yang diberikan Akim, Stacy jujur mengakui mereka tidak pernah melakukan perkara itu.

“Ketika kami bercinta dulu pun tidak pernah berikan hadiah. Lagipun, saya bukan seorang yang meminta sesuatu. Apa yang penting hari jadi saya diingati orang tersayang.

“Kami juga tidak membiasakan diri untuk memberikan hadiah mahal setiap kali hari jadi. Apa yang diberikan itu sudah cukup bermakna. Kalau ada, saya bersyukur. Jika tidak ada saya okey saja,” katanya.

Menurut Stacy, sejak berkahwin dan memiliki anak, keutamaan mereka kini lebih kepada zuriat.

“Bagi saya tidak perlu membazir. Banyak perkara lain lebih penting. Zaman sekarang serba-serbi memerlukan duit. Kalau ada duit lebih, kami simpan untuk kegunaan anak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Ogos 2017 @ 7:10 AM