MAYWEATHER (kiri) lepaskan satu tumbukan kepada McGregor. -Reuters
Reuters

LAS VEGAS: Floyd Mayweather melakukan knockout teknikal (TKO) pada pusingan ke-10 ke atas atlet seni bela diri campuran Conor McGregor hari ini, sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai salah seorang peninju terbaik sepanjang zaman.

McGregor, yang tampil kali pertama dalam arena tinju, sebelum ini bercakap besar dengan menyatakan dia mampu menumbangkan peninju berusia 40 tahun dari Amerika Syarikat itu tetapi gagal merealisasikannya di tengah gelanggang.

Mayweather, peninju kelas welterweight itu melebarkan rekod tanpa kalah atau seri sepanjang kariernya kepada 50-0, mengatasi rekod 49-0 yang dipegang peninju heavyweight Rocky Marciano.

Sama ada pertarungan itu bakal menjadi pertembungan paling mahal sepanjang zaman, masih belum dapat ditentukan tetapi bagi Mayweather, dia sudah berjaya meletakkan dirinya dalam kalangan peninju legenda.

Seperti dijanjikan, McGregor bermula garang tetapi Mayweather, yang dianggap peninju paling handal bertahan, berjaya menutup ruang dan menggunakan tiga pusingan pertama untuk menilai lawannya.

Masuk pusingan keempat, Mayweather mula mengasak dan tumbukan demi tumbukan singgah ke muka McGregor yang mula terdesak dengan berpaut kepada lawannya.

Pada pusingan ke-10, Mayweather mengatur gerakan untuk menamatkan pertarungan apabila melihat McGregor keletihan dan deretan tumbukan peninju AS itu memaksa pengadil menghentikan perlawanan dengan kemenangan secara knockout teknikal menjadi milik Mayweather.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Ogos 2017 @ 2:01 PM