GAMBAR kenangan Siti Anisah mendukung Nur Sumayyah yang diambil dua hari sebelum kejadian. FOTO ihsan keluarga
Abnor Hamizam Abd Manap
am@hmetro.com.my


"ALLAH cuma pinjamkan arwah kepada kami tujuh minggu dan dia dijemput pergi selama-lamanya," kata Mohd Hassan Mat Amin, 57.

Mohd Hassan adalah datuk bayi perempuan, Nur Sumayyah Firdaus, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 3 Jalan Bandar Seri Jempol-Serting Tengah, dekat Bandar Seri Jempol, semalam.

Mohd Hassan berkata, arwah adalah cucu pertama hasil perkahwinan anak perempuannya, Siti Anisah, 27, dengan Firdaus Jamaluddin, 29, kira-kira dua tahun lalu.

Menurutnya, tiga beranak terbabit dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Senawang, Seremban, selepas anaknya menghabiskan pantang di rumah keluarga di Gambang, Pahang.


MOHD Hassan (kiri) berbincang bersama Jamaludin (kanan) ketika menunggu proses bedah siasat mayat cucu mereka di Unit Forensik Hospital Jempol. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap

"Mereka bertolak dari rumah saya pada 10.30 pagi semalam. Empat jam kemudian saya dikejutkan dengan panggilan telefon memaklumkan mereka kemalangan.

“Bagaimanapun, cucu disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.

“Anak perempuan saya masih dirawat di wad manakala menantu terpaksa dipindahkan ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah kerana kecederaan dalaman," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Jempol, hari ini.

Sementara itu, Jamaludin Arshad, 66, iaitu bapa Firdaus pula berkata dia tidak sempat bertemu cucunya itu dan hanya menatap gambar dihantar anaknya menerusi aplikasi WhatsApp.

Katanya, mengikut perancangan Firdaus akan membawa isteri dan cucunya pulang ke kampung di FELDA Trolak Timur, Perak, pada Aidiladha.

Perodua Myvi dinaiki tiga beranak itu bertembung dengan Proton Saga yang cuba memotong kenderaan lain, pada 2.15 petang semalam.

Berita berkaitan

Suami isteri cedera, anak maut

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Ogos 2017 @ 1:15 PM