SIEW Cheer berjaya memecahkan rekod Sukan SEA baling tukul besi. -Foto YAZIT RAZALI
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my


ATLET baling tukul besi negara Jackie Wong Siew Cheer memperbaharui rekod Sukan SEA dan kebangsaan selepas melakukan balingan sejauh 65.90 meter (m) sekali gus memenangi pingat emas buat kontinjen negara.

Rekod temasya Sukan SEA sebelum ini dipegang atlet Filipina Caleb Stuart dengan catatan 65.63m yang dilakukannya pada temasya dua tahun lalu di Singapura manakala rekod kebangsaan pula 65.34m dilakar Jackie Wong pada Kejohanan Olahraga Korea pertengahan tahun ini.

Kemenangan Jackie Wong itu juga menamatkan kemarau emas negara selama 16 tahun dalam acara terbabit dengan kali terakhir dimenangi Wong Tee Kui pada 2001.

Perak menjadi milik peserta Thailand Kittipong Boonmawan yang mencatat 65.49m manakala gangsa diraih wakil Filipina Ferrera Arnil dengan balingan 55.94m.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Ogos 2017 @ 4:53 PM