DUA suspek (dua kiri dan kanan) dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Jitra selepas mendapat perintah tahanan reman. FOTO Shahrizal Md Noor
Aizat Sharif
mohd.aizat@hmetro.com.my


DUA lagi suspek ditahan, malam tadi bagi membantu siasatan berhubung kes pembunuhan Sub Inspektor Bahagian Jenayah Kongsi Gelap (D7A) Bukit Aman.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Kedah, Senior Asisten Komisioner Mior Farid Al Athrash Wahid berkata, kedua-dua lelaki berusia 35 dan 39 tahun itu ditahan berasingan di Changlun dan Bukit Kayu Hitam pada 8 dan 10 malam tadi.

“Suspek sebelum itu dibawa ke Mahkamah Majistret Jitra untuk mendapatkan perintah reman selama lima hari bermula hari ini hingga 28 Ogos.

“Penahanan mereka dilakukan untuk membantu siasatan bagi kes pembunuhan itu,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Sehingga kini, tujuh lelaki sudah ditahan polis untuk membantu siasatan kes berkenaan.

Dalam kejadian Jumaat lalu, Sub Inspektor Abu Hashim Ismail, 54, ditembak dengan empat das tembakan dari belakang oleh penyerang yang memanjat tembok kediaman lelaki yang dikunjunginya di Taman Hosba, Changlun.

Serangan terbabit menyebabkan mangsa yang sedang berbual dengan lelaki berusia 35 tahun itu terbunuh di tempat kejadian.

Hasil siasatan awal polis di tempat kejadian menemui lima kelongsong peluru dan tiga anak peluru di tempat kejadian.

Selepas kejadian itu, tiga lelaki berusia berusia 30, 35 dan 36 tahun ditahan pada hari kejadian dan Sabtu bagi membantu siasatan sebelum dua lagi lelaki berusia 27 dan 30 ditahan kelmarin.

Berita berkaitan

Siasat kaitan kongsi gelap

Mungkin ada tangkapan lagi

Pembunuh upahan yang bunuh

Suspek bunuh Sub Inspektor direman

Suspek kedua bunuh Sub Inspektor ditahan

Suspek bunuh Sub Inspektor ditahan

Arwah ditembak masa tengah berbual

Anggota polis Bukit Aman maut ditembak

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Ogos 2017 @ 3:31 PM