MAHDZIR bersama pelajar selepas majlis Konvokesyen Kolej Vokasional di USIM, Nilai.
NORMA menunjukkan diploma dan gambar arwah anaknya pada majlis konvokesyen USIM, semalam.
Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my


Nilai: “Sewaktu melangkah naik ke pentas, saya seakan melihat dia ada bersama,” kata Norma Mohamed, 40, yang mewakili arwah anak lelakinya Abdul Jamil Abdul Jalil mengambil diploma pada Majlis Konvokesyen Kolej Vokasional di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), di sini, semalam.

Abdul Jamil, 20, graduan Diploma Teknologi Elektronik itu meninggal dunia akibat kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Endau-Kuala Rompin, Pahang, pada 12 Julai lalu.

Norma berkata, meskipun sebak kerana anak sulung daripada empat beradik itu tidak sempat menyarung jubah konvokesyen, namun dia gembira melihat kejayaan rakan arwah anaknya yang menamatkan pengajian.

“Sepatutnya arwah yang berada di sini bersama rakannya yang lain, tetapi Allah lebih sayangkannya. Saya sanggup menghadiri majlis ini untuk berkongsi kegembiraan rakan arwah.

“Along (arwah) juga ada memberitahu saya yang dia mahu bekerja dalam bidang dipelajarinya selepas tamat pengajian dan membuka kedai membaiki dan menjual telefon bimbit,” katanya ketika ditemui selepas majlis itu, semalam.

Ditanya mengenai tragedi menimpa arwah, Norma berkata, anaknya menunggang motosikal untuk berhari raya di rumah rakannya sebelum bertembung dengan lori membawa muatan ais yang membuat pusingan U.

Katanya, kemalangan itu mengakibatkan anaknya meninggal dunia di lokasi kejadian, kira-kira jam 10 pagi.

Sementara itu, penerima Anugerah Emas Menteri Pendidikan, Jelisha Johny Jerome, 20, memberitahu kejayaannya itu didedikasikan kepada ibunya yang meninggal dunia, lima tahun lalu.

Graduan Diploma Pelancongan dari Kolej Vokasional Beaufort, Sabah itu berkata, mendiang ibunya adalah sumber inspirasi buatnya selama ini untuk cemerlang dalam pengajian.

“Saya berhasrat menyambung pengajian di luar negara dan bercita-cita untuk menjadi pensyarah dalam bidang pelancongan.

“Saya mahu mengubah kehidupan keluarga dan membalas jasa ayah yang membesarkan saya.

“Selain ayah, dua abang saya juga menjadi kekuatan dan kunci kepada saya untuk terus berusaha dan melakukan yang terbaik dalam kehidupan,” katanya yang juga ratu cantik mewakili daerah Sipitang, Sabah.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, sebanyak 55.49 peratus daripada 12,997 graduan kohort kedua kolej vokasional ditawarkan bekerja mengikut bidang dipelajari, walaupun belum tamat pengajian.

Katanya, pencapaian itu menunjukkan pelajar kolej vokasional mempunyai kemahiran dan diiktiraf pihak industri.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Ogos 2017 @ 6:29 AM