ROBOT sami diprogram untuk mengendalikan upacara pengebumian termasuk membaca mantera dan doa dengan harga lebih murah. FOTO Agensi
Agensi

Tokyo: Apabila pakar meramalkan robot bakal mengambil alih kebanyakan pekerjaan kita dalam tempoh beberapa dekad akan datang, sami mungkin antara manusia yang sepatutnya tidak bimbang dengan perkembangan itu.

Bagaimanapun, sebuah syarikat Jepun menunjukkan tiada pekerjaan yang selamat dengan memperkenalkan robot sami Buddha yang boleh mengendalikan upacara pengebumian dengan harga jauh lebih murah.

Selepas syarikat SoftBank Robotics membangunkan robot manusia dikenali sebagai Pepper dua tahun lalu, mesin itu sudah mengambil alih beberapa pekerjaan.

Robot pertama yang boleh membaca emosi manusia itu sudah diletakkan di bank, kedai sushi dan premis perniagaan sebagai penyambut tetamu.

Baru-baru ini, sebuah syarikat pengurusan mayat, Nissei Eco menjadikan robot itu sebagai sami Buddha untuk pelanggan yang mahu mengurangkan kos pengebumian.

Robot sami itu boleh mengendalikan upacara pengebumian termasuk membaca mantera dan doa dengan harga jauh lebih murah berbanding sami manusia.

Harga yang ditawarkan untuk perkhidmatan robot itu hanya 50,000 yen (RM2,000).

Kata syarikat itu, robot itu juga dipakaikan pakaian tradisional sami Buddha dan disasarkan kepada golongan yang mahu mencari alternatif lebih murah.

Robot sami itu bakal diperkenalkan dalam Festival Antarabangsa Pengebumian dan Pusara Antarabangsa di Tokyo pada minggu ini.

Dalam festival itu beratus-ratus syarikat berkaitan pengurusan mayat dan pengebumian akan berhimpun bagi memperkenalkan produk serta perkhidmatan terbaru mereka.

Nissei Eco percaya, perkhidmatan robot sami bakal menjadi tarikan utama festival tahunan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Ogos 2017 @ 7:48 AM