Abnor Hamizam Abd Manap
am@hmetro.com.my


DUA lagi mangsa kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kilometer 24 Jalan Bahau-Keratong, berhampiran Ladang Geddes, petang tadi, meninggal dunia di Hospital Jempol, menjadikan tiga maut.

Mangsa yang maut pemandu Perodua Myvi, Mohd Saufi Mohd Sidek@Hamidan, 33, dan penumpang pacuan empat roda Nissan Navara, Puteri Nursha Sara Zainal, 10, iaitu anak kepada Nordiana Nordin, 37, yang maut di lokasi kejadian.

Pemangku Ketua Polis Daerah Jempol Deputi Superintendan Azham Shah Azlan berkata, kedua-dua mangsa meninggal dunia ketika menerima rawatan di wad kecemasan hospital berkenaan.

Menurutnya, lima lagi mangsa iaitu suami Nordiana, Zainal Vito, 38, anak lelakinya Mohammad Nifzal, 11; pemandu Mitsubishi Triton Chong Chuan Tat, 32; pemandu Perodua Myvi Mohd Khairul Adnan Awang, 29; dan penumpangnya Sepiah Isa, 62, cedera .

Katanya, ketiga-tiga mayat mangsa akan dibedah siasat pagi esok.

"Dalam kejadian 4.30 petang itu, Mitsubishi Triton dari arah Keratong ke Bahau dipercayai merempuh Nissan Navara dari arah belakang.

"Ia menyebabkan Nissan Navara terbabas ke laluan bertentangan dan bertembung dengan Perodua Myvi dipandu Mohd Saufi. Kedua-dua kenderaan itu terjunam dalam parit manakala sebuah lagi Perodua Myvi mengelak dan terbabas ke bahu jalan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita berkaitan:

Isteri maut suami cedera

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Ogos 2017 @ 11:23 PM