Puteri Nur Aisya meninggal dunia di HSNZ selepas disengat kira-kira 30 tebuan. FOTO ihsan keluarga
Mohammad Ishak
am@hmetro.com.my


Budak perempuan berusia dua tahun meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) pagi hari ini selepas disengat tebuan berhampiran rumahnya di Kampung Tok Has, Jertih, semalam.

Puteri Nur Aisya Azhar meninggal dunia kira-kira 4.30 pagi selepas dipercayai disengat kira-kira 30 ekor tebuan dalam kejadian berhampiran kedai makan terbiar di tepi rumahnya, pada 12.45 tengah hari.

Ibu mangsa, Rubiyah Ismail, 45, berkata, kejadian berkenaan disedari datuk mangsa, Ismail Mat Ali, 69, selepas dikejutkan denganjeritan Puteri Nur Aisya.

Menurutnya, Ismail ketika itu sedang berbaring di kawasan tangga di hadapan rumah mereka.

"Ketika ayah saya mendapatkannya, dia nampak tebuan menghurung badan Puteri Nur Aisya lalu menepis serangga terbabit sebelum ayah memeluk arwah supaya tebuan tidak menyengat cucunya.

“Tindakan itu menyebabkan ayah turut disengat kira-kira 10 ekor tebuan sebelum kami mengejarkan Puteri Nur Aisya ke Unit Kecemasan Hospital Besut.

“Anak saya kemudian dirujuk ke HSNZ tetapi pada sebelah malam tadi keadaaanya semakin tenat apabila doktor memberitahu dia tidak boleh membuang air kencing dan buah pinggangnya sudah tidak berfungsi," katanya .

Menurutnya, kumpulan tebuan berkenaan bersarang di dalam kedai makan yang sudah tidak digunakan terletak di tepi rumahnya.

Jenazah kanak-kanak terbabit selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pasir Akar selepas solat Zohor tengah hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Ogos 2017 @ 4:53 PM