SETIAP lipatan serta perbezaan rekaan tanjak untuk orang biasa dan kerabat diraja.
MUHAMMAD Syahrulnizam mengambil masa tiga hari untuk menyiapkan satu tanjak.
Noor Ainum Ibnu Hajar Abu Seman
am@hmetro.com.my


Temerloh: Bermula hanya sekadar suka-suka memakai tanjak daripada kain pelekat dan batik ketika menghadiri latihan silat, ia akhirnya menjadi pencetus kepada peluang rezekinya sehingga mampu meraih pendapatan sehingga RM4,000 sebulan.

Itu tuah Muhammad Syahrulnizam Kamar Bahsar, 21, yang sudah setahun berjinak-jinak dalam pembuatan tanjak dengan lebih 1,000 koleksi dihasilkan dengan hanya menggunakan mesin jahit lama diwarisi daripada arwah neneknya.

Anak bongsu daripada sembilan beradik itu berkata, ia bermula apabila seorang kerabat diraja Pahang menghadiri majlis di kampungnya dan bertanya kepada guru silatnya mengenai orang yang tahu menghasilkan aksesori tradisional itu.

“Guru silat yang menyedari bakat saya segera memaklumkan kepadanya yang saya pandai membuat tanjak, dari situ saya dititahkan untuk menghasilkan satu tanjak.

“Alhamdulillah, selepas melihat hasil tangan saya, kerabat diraja itu berpuas hati dan memuji sehingga menempah berulang kali. Malah, bertambah terharu apabila beliau turut mempromosikan tanjak saya ketika berada di Riau, Indonesia,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Simpang Sanggang, di sini, semalam.

Katanya, pujian daripada guru silatnya dan kerabat diraja itu menjadikannya bertambah bersemangat mengorak langkah dalam pembuatan tanjak.

“Perlahan-lahan saya mempromosikan tanjak dihasilkan saya melalui laman sosial dan menerima tempahan daripada pelanggan yang berniat untuk memakai tanjak pada hari bahagia mereka dengan menjualnya pada harga serendah RM50 selain turut menghasilkan tanjak mini sebagai cenderahati.

“Syukur, permintaan sangat menggalakkan dan tidak lama lagi bakal menembusi pasaran Singapura memandangkan orang di sana turut tertarik untuk memilikinya,” katanya yang mengambil masa tiga hari untuk menyiapkan satu tanjak.

Menurutnya, walaupun langkahnya semakin panjang dalam industri itu, namun ia bukan noktah untuknya berhenti melakukan kajian mengenai tinggalan warisan Melayu itu.

“Setiap kali menghasilkan tanjak saya akan buat kajian melalui Internet dan orang lama yang tahu mengenainya.

“Dari situ kita tahu berapa jenis tanjak yang ada, makna di setiap lipatan serta perbezaan rekaan tanjak untuk orang biasa dan kerabat diraja,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Ogos 2017 @ 5:28 AM