Hariff meraikan kejayaan menjuarai acara kriterium Sukan SEA 2015 di Singapura.
Azlan Muhammad Zain
azlanmz@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Pelumba lebuh raya negara, Mohd Harrif Saleh sudah bersedia mempertahankan dua emas Sukan SEA selepas menjalani latihan intensif hampir sebulan di Melbourne.

Harrif yang berlepas ke Melbourne pertengahan bulan lalu dan dijangka kembali Isnin nanti bersama rakan sepasukan menjadi taruhan dalam acara lepas beramai-ramai dan kriterium.

“Apa yang boleh saya katakan sekarang adalah saya sudah bersedia sepenuhnya mempertahankan dua emas yang dimenangi pada edisi dua tahun lalu.

“Lebih menggembirakan, kesakitan bahagian belakang berada pada tahap paling minimum. Jadi saya dapat berkayuh dengan selesa dan tidak terganggu,” jelasnya.

Pakar pecut Terengganu Cycling Team (TSG) itu menjelaskan terdapat peningkatan dalam prestasinya apabila menjalani latihan secara langsung di bawah kendalian jurulatih Jeremy Hunt di Melbourne.

“Kami hanya fokus kepada latihan disusuli pertandingan di Melbourne. Secara tidak langsung membantu peningkatan prestasi.

“Malah, motivasi saya sememangnya meningkat selepas memenangi salah satu peringkat Tour of Great South Coast selain beberapa kali menaiki podium cukup menyuntik semangat,” jelasnya.

Selain Harrif, lima lagi pelumba TSG yang bakal menggalas cabaran negara adalah Mohd Zamri, Anuar Manan, Adiq Husainie Othman, Nur Amirull Fakhruddin Mazuki dan Shahrul Mat Amin.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Ogos 2017 @ 5:46 AM