PEMAIN Real menjulang Piala Super Eropah.
Reuters

Skopje: Real Madrid menewaskan Manchester United 2-1 awal pagi semalam untuk menjulang Piala Super Eropah buat kali keempat, sekali gus menjadi pasukan pertama mempertahankan gelaran itu selepas AC Milan pada 1990.

Pemain tengah Brazil Casemiro menjaringkan gol pembukaan dengan rembatan kaki kiri pada separuh masa pertama manakala pemain tengah Sepanyol Isco mengukuhkan kedudukan Real dengan penyudah hebat pada minit ke-52 di National Arena di Skopje, Macedonia.

Penyerang baru United Romelu Lukaku menjaringkan gol kompetitif pertamanya buat kelab itu untuk merapatkan jurang defisit apabila meledak lantunan bola dalam pertembungan tahunan di antara juara Eropah dengan Liga Europa.

Jaringan itu mencetuskan tekanan daripada skuad Jose Mourinho dan mereka hampir menyamakan kedudukan menerusi percubaan Marcus Rashford tetapi berjaya dihalang Keylor Navas dan memastikan Real menjuarai gelaran antarabangsa kelima di bawah kendalian Zinedine Zidane.

“Kami menguasai hampir keseluruhan perlawanan dan amat penting bagi kami memulakan musim ini dengan menjulang trofi menewaskan pasukan yang melakukan apa saja untuk menang,” kata kapten Real Sergio Ramos.

“Mereka mempunyai peluang menjelang akhir perlawanan dan cuba mempamerkan permainan secara langsung dengan memberi asakan fizikal tetapi kami tenang dalam detik penuh tekanan itu dan mengawal bola. Selain aksi babak akhir itu, kami mempamerkan aksi hebat.”

Mourinho berkata: “Kami bermain menentang pasukan yang dipenuhi pemain hebat tetapi kami mencabar keputusan itu hingga ke akhirnya. Kami memberi saingan terhadap mereka tetapi masih ada sebab untuk terus optimis dan berbangga.”

Pengakuan jurulatih United sebelum perlawanan itu bahawa Real mempunyai lebih kualiti berbanding pasukannya terbukti apabila juara Liga Juara-Juara memonopoli permainan dan hampir menjaringkan gol awal apabila percubaan Gareth Bale melepasi palang.

Pemain tengah bertahan Casemiro kemudiannya menanduk bola melepasi palang sebelum menyambut hantaran Dani Carvajal untuk menambah bilangan jaringan selepas menewaskan Juventus pada aksi final Liga Juara-Juara.

United, juara Liga Europa kurang memberi ancaman kepada Navas pada separuh pertama dan pemain termahal kelab Paul Pogba mensia-siakan satu-satunya peluang apabila rembatannya mudah ditepis ketika Henrik Mkhitaryan yang tidak diawasi menjerit meminta bola.

Real terus mendominasi selepas separuh masa kedua ketika United terus bergelut memberi tekanan kepada lawan dalam cuaca panas lembab yang memaksa kedua-dua pasukan berhenti rehat untuk minum pada setiap separuh masa.

Aksi penjaga gol United David de Gea menghalang Toni Kroos daripada menambah jaringan sebaik separuh masa kedua manakala pertahanan mereka Chris Smalling berjaya menghadang percubaan Marcelo dan menolaknya ke tepi jaring.

Madrid bagaimanapun tidak menyerah kalah dan pemain tumpuan Isco menggandakan kedudukan mereka dengan rembatan tajam melepasi rakan senegara Sepanyol De Gea selepas meluru ke kawasan gol, saling bertukar hantaran dengan pemain Wales, Bale yang kemudiannya menggegar gawang.

Dominasi Real semakin berkurang menjelang akhir perlawanan dengan gol United tetapi skuad gergasi Sepanyol itu mengesahkan kejuaraan mereka apabila Ramos menjulang piala ke langit Skopje.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Ogos 2017 @ 4:42 AM