ZURAIDA menunjukkan gambar Iffriah yang maut disengat tebuan. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham
am@hmetro.com.my


KANAK-KANAK perempuan meninggal dunia manakala kakaknya kritikal selepas disengat tebuan ketika bermain di kawasan rumahnya di Kampung Batu Tiong, Dungun, semalam.

Mangsa, Iffriah Darwisha Abdul Wahab Al Hadi, 3, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Dungun, 10.30 malam tadi.

Kakaknya, Irdina Batrisyia, 8, kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Kedua mangsa dikatakan bermain di depan rumah mereka bersama seorang lagi adik mereka, Izzat Al Haziq, 6, kira-kira 6.30 petang sebelum diserang tebuan dari semak berhampiran.

Bagaimanapun, Izzat dikatakan berjaya melarikan diri dan pulang ke rumah kira-kira 100 meter dari tempat mereka bermain untuk memaklumkan kejadian itu kepada ibunya, Zuriati Abdul Ghafar, 35.

Ibu saudara mangsa,Zuraida Abdul Ghafar, 37, berkata, anak saudaranya itu yang menjerit kesakitan kemudiannya dibantu bapa mereka, Sudin Ibrahim, 49, sebelum dikejarkan ke Hospital Dungun.

Menurutnya, mangsa diberi rawatan kecemasan sebelum dimasukkan ke wad dan disahkan meninggal kira-kira 10.30 malam.

"Irdina yang menerima rawatan awal di Hospital Dungun kemudiannya dipindahkan ke HSNZ kira-kira 1 pagi tadi kerana keadaannya agak kritikal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Ogos 2017 @ 5:40 PM