PROGRAM menziarahi mangsa kemalangan pada Mac lalu dengan menyumbangkan barangan keperluan harian anjuran GRAB di Permatang Pauh.
Muhammad Shalaby Shahbuddin
am@hmetro.com.my


Menjalinkan kerjasama dengan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain ketika melakukan kerja sukarelawan antara kaedah dipraktikkan Persatuan Gerakan Amal Bersama atau lebih dikenali sebagai GRAB selepas mula beroperasi dan aktif di sekitar negeri ini sejak 22 April tahun lalu.

GRAB yang diasaskan Fairul Azirawati Mohd Pilus, 40, dan Rafidah Ahmad, 39, secara rasminya berdaftar secara sah dengan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS) pada 1 September tahun lalu.

Setiausahanya Fairul Azirawati berkata, tujuan utama GRAB bekerjasama dengan NGO lain agar dapat bersama berkongsi rezeki dan membolehkan bantuan diberikan kepada golongan sasar meliputi skala lebih besar berbanding melakukan program secara bersendirian.

Beliau berkata, ia kerana setiap NGO mempunyai saluran dana tersendiri dan sasaran penerima bantuan selain masing-masing mempunyai pengalaman, malah dengan bekerjasama secara tidak langsung dapat mempelajari sesuatu perkara yang baharu.

“Antara NGO sering bekerjasama dengan kami adalah The Gagaks, Budak Penang Crew (BPC), D’ Ikhlas, Wild Truckers Utara, Bantu Ummah, MPX, Penang Petlover, Penang Prihatin, Persatuan Kebajikan Nur Kasih dan Anak Jati Penang LC, Malaysian Humanitarian Aid Relief (MAHAR) serta banyak lagi.

“Malah, walaupun Bantu Ummah beroperasi di Selangor, mereka sentiasa menghulurkan bantuan dari segi dana untuk projek amal dianjurkan GRAB,” katanya yang mempunyai 62 ahli berdaftar dan 40 ahli aktif.

Fairul Azirawati berkata, GRAB berhasrat menjadi persatuan bersistematik serta mempunyai objektif berlandaskan kerja amal, sekali gus dapat memupuk kesedaran dan sikap positif.

Beliau berkata, misi pihaknya adalah berkhidmat secara berkumpulan bagi menyalurkan bantuan dan kerja amal kepada golongan memerlukan seperti fakir miskin, warga emas, ibu tunggal, pesakit kronik, anak yatim susah dan lain-lain lagi menerusi hasil sumbangan orang ramai, syarikat korporat dan jualan amal.

“Antara program dijalankan sepanjang tahun lalu bersama NGO lain adalah program amal bersama Rumah Anak Yatim Ulu Sepetang, Taiping, anjuran BPC di mana kami turut menyumbangkan set cadar, tilam, kipas dan beberapa alatan lain serta program Infaq Baju Sekolah 2017 dengan menyumbang barangan persekolahan kepada 100 pelajar asnaf.

“Berdasarkan rekod kami, kumpulan ziarah GRAB sudah melakukan kunjungan dan menyantuni 20 keluarga dengan menyampaikan barangan bantuan keperluan harian dan wang tunai kepada 20 keluarga sepanjang tahun lalu,” katanya.

Fairul Azirawati berkata, tahun ini, pihaknya turut menjalankan misi bantuan banjir ke Kelantan dengan menyampaikan sumbangan kit banjir kepada mangsa banjir iaitu 300 pek masing-masing membabitkan kit kebersihan, makanan dan cenderahati untuk kanak-kanak.

Beliau berkata, antara program mendapat kerjasama NGO paling ramai adalah pelancaran program Dana Pembiayaan Kompleks Pendidikan Dar Al-Maarif, Sungai Layar di Sungai Petani apabila membabitkan 17 NGO dan pusat beli-belah Econsave selain penganjuran program Infaq Ramadan 2017 yang disalurkan kepada 120 keluarga asnaf dan 12 pusat tahfiz membabitkan lapan NGO.

“Bagi membantu golongan masih memerlukan bantuan secara berterusan, kami menganjurkan program berskala pada setiap bulan dan tahun, sekali gus memerlukan anggaran dana bermula daripada RM700 dan ada yang mencecah kos RM15,000.

“Contohnya seperti program Rezeki Jumaat memerlukan penyediaan 200 set makan tengah hari dikongsi bersama pekerja am sekitar kawasan berhampiran sebulan sekali membabitkan kos RM1,200 manakala Infaq Ramadan pada setiap tahun dengan menyalur bantuan keperluan asas dan tunai kepada lebih 100 penerima dengan kos RM15,000,” katanya.

Beliau berkata, program berterusan seperti Gerobok Rezeki dilakukan di dua masjid terpilih iaitu Masjid Jamek Permatang Pauh dan Masjid Abdullah Fahim, Kepala Batas selain menganjurkan kelas jahitan dan masakan bagi membantu asnaf, ibu tunggal dan lain-lain lagi bagi meringankan bebanan sedia ada.

Menurutnya, kerjasama daripada semua pihak untuk menjayakan cita-cita murni itu sangat dihargai dan sumbangan tunai dan cek boleh disalurkan ke akaun Maybank (557344065092) atas nama Persatuan Gerakan Amal Bersama.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Ogos 2017 @ 6:28 AM