Ekhwan Haque Fazlul Haque
ekhwan@hmetro.com.my


SEKOLAH Kebangsaan Long Sepiling di Baram muncul juara kategori Penceritaan Terbaik menerusi video pendek bertajuk 'Marung Usu' dalam Anugerah Kid Witness News (KWN) anjuran Panasonic di Tokyo, Jepun, Jumaat lalu.

Empat murid sekolah berkenaan itu muncul juara mengatasi 18 negara lain yang bertanding antaranya Amerika Syarikat, Jepun, Hong Kong dan Kanada.

Long Sepiling adalah satu daripada kawasan pedalaman di Baram dengan perjalanan kira-kira enam jam menggunakan pacuan empat roda dari Miri sebelum menaiki bot ekspres dari Marudi.

Guru penasihat Muhammad Saffuan Jaffar, 28, berkata, kejayaan SK Long Sepiling mengatasi negara lain membuktikan sekolah di pedalaman mampu mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.

Menurutnya, kekangan daripada segi kemudahan Internet selain tiada kepakaran menggunakan kamera dan perisian suntingan tidak menjadi penghalang murid sekolah berkenaan mengungguli kategori berkenaan.

"Peralatan seperti kamera disediakan Panasonic dan kami diberi latihan dan perlu 'meneroka' kemudahan itu untuk menghasilkan video pendek yang menarik selain sarat dengan mesej kemasyarakatan.

"Kekurangan yang ada kami ambil sebagai pembakar semangat untuk buktikan murid di kawasan pedalaman juga setanding dengan negara maju lain asalkan ada kemahuan dan keazaman yang tinggi," katanya yang pergi ke Tokyo untuk menerima anugerah itu bersama murid Michael Nyamun, 11, dan wakil Panasonic Malaysia.

Tiga lagi murid dalam kumpulan sama adalah Aniilov Fabien Tingang, 13, Juwita Ulean dan Fiona Fredick masing-masing berusia 12 tahun.

Beliau berkata, video bertajuk 'Marung Usu' dalam bahasa Kayan atau ‘The Power of Hands’ dan berdurasi lima minit itu mengisahkan murid yang kudung menasihati rakannya supaya menjaga tangan yang dimiliki untuk berbuat kebaikan berbanding merisikokan diri dengan bermain mercun.

Katanya, video berkenaan sarat dengan pengajaran sambil diselit dengan unsur komedi selain dialog menggunakan bahasa Iban dan Kayan ternyata menambat hati juri.

"Kemenangan ini menjulang nama sekolah kami selain membawa pulang sijil penghargaan dan piala selain peralatan rakaman video dari Panasonic.

"Sebagai guru penasihat projek ini, ternyata susah payah kami selama kira-kira sebulan untuk menghasilkan video berkenaan tahun lalu dipermudahkan kerana mendapat kerjasama khususnya dari warga SK Long Sepiling serta penduduk kampung. Kini SK Long Sepiling dikenali dipersada antarbangsa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Ogos 2017 @ 2:50 PM
Muhammad Saffuan (kanan) bersama Michael di majlis anugerah di Tokyo. Gambar ihsan Muhammad Saffuan