FARIDAH Lebai Abdullah bersama lembu-lembu kesayangannya. Gambar kecil, laporan Harian Metro, semalam. FOTO Mohd Sharumnisham
Mohd Sharumnisham
am@hmetro.com.my


Changlun: “Sayang memang sayang tapi kerana tuntutan agama, saya reda lembu-lembu ini dikorbankan sempena Aidiladha tahun ini.

“Lagipun, Islam memang menuntut kita bersedekah atau melakukan korban dengan harta yang kita sayang.”

Begitu kata penternak, Faridah Lebai Abdullah, 61, dari Kampung Belukar, Mukim Temin, di sini, apabila ditanya kesanggupannya menjual atau menyembelih lembu peliharaannya.

Katanya, lembu berkenaan manja dengan keluarganya kerana dipelihara sejak kecil dengan penuh kasih sayang.

“Beberapa hari lalu, ketika berbincang dengan keluarga berkaitan ibadat korban, lembu-lembu ini kelihatan sedih dan keputusan yang berat terpaksa dibuat untuk korbankan dua daripada 10 lembu yang ada,” katanya ditemui di rumahnya, semalam.

Gelagat lembu berusia dua tahun yang manja dan diberi nama Cik Ah memanjat belakang Faridah menjadi tular di media sosial apabila dimuat naik oleh pemilik lembu yang juga menantunya, Mohd Zaidi Desa, 38.

Sementara itu, anak perempuan Faridah, Norfariza Saidin, 28, berkata, ibunya memang seorang yang penyayang bukan saja sesama manusia, tetapi juga dengan haiwan.

“Kebiasaannya emak tidak akan menjamah daging daripada lembu yang dipeliharanya,” kata Norfariza.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Ogos 2017 @ 6:31 AM