UNGKU Ismail langgar prinsip demi penuhi karakter dalam drama bersiri Dendam Aurora.
Syanty Octavia Amry
soctavia@hmetro.com.my

Jika sebelum ini pelakon Ungku Ismail Aziz enggan bersentuhan dengan pelakon wanita apabila berlakon, menerusi drama bersiri Dendam Aurora dia terpaksa melanggar prinsip itu.

Ungku Ismail berkata, semua itu terpaksa dilakukan demi memenuhi tuntutan karakternya dalam drama bersiri 100 episod itu.

Dia yang memegang watak utama bergandingan dengan pelakon hebat, Nabila Huda.

“Memang selama ini saya elak babak bersentuhan dan berpeluk kerana bagi saya ia tidak perlu. Cukuplah sekadar menunjukkan reaksi mesra saja.

“Bagaimanapun, untuk drama ini, saya terpaksa kerana kisahnya berbeza daripada drama yang pernah saya lakonkan.

“Malah apabila meneliti skrip memang banyak adegan intim perlu saya lakukan namun masih menjaga batasan dan sesuai dengan tontonan masyarakat kita,” katanya.

Ungku Ismail berkata, dia masih akan mengekalkan prinsip tidak mahu bersentuhan dengan pelakon wanita selepas ini.

Dendam Aurora adalah telenovela adaptasi dari Itali yang berjudul Tuscan Passion. Drama itu diarahkan Feroz Kader dan Riza Baharudin.

Ditayangkan di saluran Astro Prima dan Maya HD, siri yang turut dibintangi Anzalna Nasir, Mia Nasir, Shah Iskandar dan Octavia Manrose itu sudah menemui penonton sejak 25 Julai lalu.

Berkongsi keserasiannya dengan Nabila menerusi drama ini, Ungku Ismail berkata, tiada istilah perlu bercinta bagi mendapatkan keserasian.

“Selain bakat, keserasian sangat penting. Jika kedua-duanya ada, pasti gandingan itu berjaya.

“Saya dan Nabila sudah lama kenal. Jadi, mudah untuk kami berbincang dan mendapatkan ‘mood’,” katanya

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Ogos 2017 @ 2:44 AM