FOTO ihsan Nur Ain Kadir
Suraya Roslan
am@hmetro.com.my


“SAYA akan cuba buat permohonan mendapatkan permit perniagaan, Isnin ini, supaya kami berniaga secara sah,” kata Nur Ain Kadir, 30, peniaga nasi lemak but kereta dekat stesen minyak, di Ampang.

Kisah kegigihan Nur Ain yang berniaga nasi lemak sambil menjaga tiga anaknya termasuk seorang berada dalam kendongan tular di laman sosial sebelum ini.

Ibu lima anak berusia satu hingga 13 tahun itu berkata, sebaik perkara itu tular, Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menghalangnya berniaga, pada kira-kira 5 petang semalam.


KERATAN berita awal mengenai usaha Nur Air berniaga nasi lemak untuk tambah pendapatan.

“Saya baru buka but kereta. Orang ramai tak sempat beli pun lagi, tiba-tiba datang penguat kuasa MPAJ minta saya beredar dari kawasan itu.

“Akur dengan arahan itu. Saya pun beredar dan berpusing di kawasan sekitar sehinggalah terjumpa kawasan dekat hospital di Ampang dan berniaga di kawasan itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, dia mengakui kesalahan dilakukan dan akan cuba membuat permohonan permit perniagaan secepat mungkin.

“Begitupun, saya bersyukur kerana pemilik stesen minyak dekat lokasi saya berniaga minta saya hantar nasi lemak setiap pagi,” katanya.

Berita berkaitan

Aku gagahi jua!

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Julai 2017 @ 8:33 PM