Asrizal Aris
asrizal.aris@hmetro.com.my


SAINGAN Siri Pertama Harian Metro Mountain Bike (HMMTB) Grand Prix 2017 melabuh tirai dengan 1,200 penyertaan di Bukit Merah Laketown Resort (BMLR), Bukit Merah, hari ini.

Cabaran yang dianjurkan kali ketiga di negeri ini menyaksikan bekas juara kejohanan, Mohd Fauzan Ahmad Lutfi, sekali lagi merangkul gelaran juara kategori utama (lelaki terbuka).

Pengarah Kejohanan HMMTB merangkap Pengarang Bersekutu (Rencana) Harian Metro, Husain Jahit berkata, penganjuran pertama bagi tahun ini berjalan lancar merangkumi pelbagai aspek.

"Alhamdulillah kita menerima 1,200 peserta dari seluruh negara dan luar negara untuk bersaing bagi lima kategori iaitu lelaki terbuka, senior master lelaki, junior master lelaki, wanita terbuka dan junior lelaki.

"Terima kasih juga kepada penaja utama, Affin Bank, serta rakan penaja seperti Honda, Deuter, Tesco, Polygon dan beberapa lagi," katanya.

Menurutnya, HMMTB masih terdapat dua siri lagi iaitu di Kerteh, Terengganu pada 7 Oktober dan Sungai Buaya, Selangor pada 2 Disember.

"Saya sarankan peserta yang kecewa pada hari ini jangan serik untuk menyertai HMMTB di dua lokasi yang seterusnya dan masih boleh membuat kejutan seperti yang dilakukan beberapa peserta bukan pilihan pada cabaran hari ini.

"Pastinya trek pada cabaran akan datang lebih mencabar dan sesiapa sahaja boleh mencapai gelaran," katanya.

Terdahulu, majlis pelepasan pelumba bermula jam 8 pagi yang disempurnakan oleh Pengarang Kumpulan Harian Metro, Datuk Mustapa Omar bersama Ketua Pegawai Eksekutif Affin Islamic Bank Berhad, Nazlee Khalifah dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Pongsu Datuk Sham Mat Sahat.

Keputusan pemenang cabaran Harian Metro Mountain Bike Grand Prix 2017

Kategori Lelaki Terbuka

Pertama - Mohd Fauzan Ahmad Lutfi (SBS Giant)

Kedua - Muhammad Khuzairi Abdul Bakar (HMCC/IZRIM)

Ketiga - Muaz Abd Rahim (SBS Giant)

Kategori Senior Master Lelaki

Pertama - Muhamad Razani Husin (Razani Multi Sport)

Kedua - Nor Affendy Rosli (Exitway Mercury)

Ketiga - Tan Chee Yong (SBS Giant)

Kategori Junior Master Lelaki

Pertama - Surachet Sun Jui (Thailand All Star)

Kedua - Zukri Tahir (Polygon Malaysia Racing)

Ketiga - Azizul Azli Shaari (Natura Team)

Kategori Wanita Terbuka

Pertama - Sarocha Kamonlakhon (Thailand All Star)

Kedua - Masziyaton Mohd Radzi (SBS Giant)

Ketiga - Noor Azian Alias (Deuter Pinky)

Kategori Junior Lelaki

Pertama - Khairul Aniq Mohd Ghazali (SBS Giant)

Kedua - Zuladri Amin Zulkarnain (FD Cycle)

Ketiga - Zamirul Adlisham Zulkefli

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Julai 2017 @ 5:31 PM
PELUMBA mula beraksi pada kejohanan Harian Metro Mountain Bike Grand Prix 2017 di Bukit Merah. FOTO Abdullah Yusof