Zambri (tengah) ketika sidang meja bulat membincangkan isu masa depan IPG di GPMS, Kuala Lumpur. FOTO Fariz Iswadi Ismail
Ardyhansah Amat
ardyhansah@hmetro.com.my


GABUNGAN Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) akan menghantar memorandum kepada Kementerian Pendidikan, Isnin ini, bagi menuntut penjelasan berkaitan cadangan pemansuhan elaun sara hidup Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP).

Presidennya, Zambri Mohd Isa berkata, isu itu mengejutkan sekali gus menimbulkan kebimbangan hampir 3,000 mahasiswa Institut Pendidikan Guru (IPG).

"Walaupun ia masih belum diputuskan namun tidak seharusnya timbul cadangan sedemikian sehingga KPM perlu membincangkan perkara itu.

"Umum mengetahui mereka yang belajar di IPG bergantung sepenuhnya terhadap elaun memandangkan mereka tertakluk kepada kontrak dan tidak mempunyai pendapatan lain," katanya selepas menghadiri Perbincangan Meja Bulat GPMS Bersama NGO bagi memperhalusi nasib IPG di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata, selain berkaitan elaun PISMP, pihaknya menuntut kementerian memberi penjelasan mengenai penutupan sembilan IPG yang dijadikan sebagai kolej vokasional atau politeknik termasuk dua daripadanya sebagai Pusat Permata seperti diumumkan dalam pembentangan Bajet 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Julai 2017 @ 7:59 PM