Laman FB yang menggunakan nama HM dan menipu serta laporan polis yang dibuat HM.
Hanafis Abdul Haris dan Aizat Sharif
am@hmetro.com.my


HARIAN Metro (HM) hari ini membuat laporan polis terhadap pemilik akaun laman Facebook (FB) ‘Harian Metro Online MY’ yang meminta dana untuk kanak-kanak yang sakit rosak hati dan jantung sejak semalam.

Laporan itu dibuat Pengarang Berita Online unit Digital HM Asmizan Mohd Samiran di Balai Polis Pantai, Brickfields pada 3.24 petang hari ini selepas mendapati laman itu menggunakan nama HM dan menipu untuk mengaut untung atas angin.

Asmizan berkata, kewujudan laman FB palsu itu disedari kira-kira 6 petang semalam selepas mendapati terdapat status berserta gambar dimuat naik di laman terbabit.

Menurutnya, status itu dipercayai dimuat naik pada 8 pagi yang meminta sumbangan disalurkan kepada kanak-kanak itu bagi menjalani pembedahan jantung dan hati.

"Berikutan itu satu laporan polis dibuat bagi mengelak berlakunya salah guna nama HM dan menafikan sebarang pembabitan HM pada laman itu," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarang Kumpulan Harian Metro, Ahmad @Salim Bachok berkata, HM tidak pernah mengendalikan dan menggunakan laman Facebook ‘Harian Metro Online MY’ untuk paparan berita semasa.

Menurutnya, HM hanya menggunakan laman Facebook atas nama ‘Harian Metro’ yang mempunyai perakuan rasmi oleh pihak FB sendiri.

"Apa apa yang dilakukan pihak terbabit adalah tidak bertanggungjawab dan mengelirukan. Justeru saya meminta orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan status terbabit.

"Semak dahulu ketulenan laman FB kami atau mana-mana media sebelum berkongsi status atau kenyataan," katanya.

Berdasarkan status dimuat naik laman Facebook palsu itu, pihak terbabit memohon ihsan orang ramai untuk menderma bagi membiayai pembedahan adik Dhia Aisya Azman sebanyak RM75,000.

Selain menyiarkan nombor akaun bank yang tiada kena mengena dengan kanak-kanak terbabit, status itu turut mengubah nama sebenar mangsa, Dhia Aisyah Mohamad Faizal kepada Dhia Aisya Azman manakala duit sumbangan disalurkan kepada akaun atas nama seorang lelaki, Azman Abdullah.

Semakan terkini mendapati status terbabit sudah menerima 6,600 likes serta lebih 2,000 perkongsian.

Sementara itu, ibu mangsa, Fazuana Hoda, 34, kecewa apabila ada yang tergamak menggunakan gambar anaknya untuk kepentingan peribadi.

“Kami memang tidak pernah mengenali apatah lagi bertemu dengan individu bernama Azman Abdullah ini. Malah gambar yang ditularkan itu diambil menerusi Facebook saya sendiri ketika Dhia Aisyah baru berusia tiga bulan.

"Saya berharap orang ramai di luar sana berhati-hati dengan penama berkenaan dan menggesa

individu itu menghentikan perbuatan tidak bertanggungjawab itu," katanya yang turut membuat laporan polis di Balai Polis Alor Setar, Kedah pada 6 petang semalam.

Pada masa sama, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin ketika dihubungi mengesahkan laporan polis sudah dibuat oleh ibu mangsa semalam dan pihaknya kini masih menjalankan siasatan bagi mengesan individu berkenaan.

Kisah Dhia Aisyah yang menderita 7 jenis penyakit sebelum ini pernah disiarkan di akhbar Harian Metro, 19 Januari 2016.

Dhia Aisyah yang ketika itu berusia dua bulan menderita menderita kaki kiri cacat, tapak kaki kanan bengkok, saraf tunjang bengkak, tiada dubur, ginjal bengkak dan usus serta pundi kencing di luar.

Harian Metro sebelum ini turut berdepan isu sama apabila akaun FB menggunakan nama 'Harian Metro News' menyiarkan maklumat palsu kononnya pemain bola sepak Safee Sali meninggal dunia, September lalu.

Laporan polis turut dibuat bagi mengelakkan kekeliruan pengguna laman sosial.

Laman rasmi Harian Metro ialah www.hmetro.com.my, laman FB menerusi nama Harian Metro, aplikasi HM Mobile, Twitter @hmetromy dan Instagram @hmetromy.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Julai 2017 @ 7:24 PM