GAMBAR ini dirakamkan pada 13 Mei 2017. FOTO AFP
Agensi
am@hmetro.com.my


KISAH menyentuh hati mengenai kanak-kanak penghidap kanser, Bradley Lowery, 6, yang menjadi tular selepas bertemu dengan wiranya, penyerang Sunderland FC, Jermain Defoe, meninggal dunia 8.32 malam tadi (waktu tempatan).

Peminat nombor satu pasukan Sunderland itu dikesan menghidap neuroblastoma, sejenis kanser yang jarang berlaku pada usianya 18 bulan.

Bradley dipilih menjadi maskot kelab terbabit sekaligus menjadi sahabat baik kepada wiranya, Jermain Defoe.

Tepukan bergema selama satu minit buat peminat cilik itu sebelum perlawanan bermula antara Sunderland FC menentang Bury FC di Gigg Lane, semalam, sebagai tanda penghormatan.

Pengerusi Bury, Stewart Day mengumumkan kesemua hasil jualan tiket akan disalurkan ke dalam kempen Dana Bradley Lowery.

Berita pemergiannya disahkan oleh ibu bapa Bradley menerusi Facebook.

“Anak lelaki saya sudah pergi hari ini. Dia adalah wira kecil kami dan berjuang habis-habisan bertarung dengan penyakit dihidapinya. Namun, Tuhan lebih menyanginya.

“Tiada kata-kata dapat diluahkan betapa hancurnya hati kami,” tulis Gemma dan Carl Lowery.

Dalam pada itu, Sunderland FC dalam kenyataannya berkata, Bradley mempunyai hubungan istimewa dengan Jermain Defoe.

“Kasih sayang antara mereka adalah bukti sebenar hubungan mereka dan Jermain juga ketika ni patah hati dengan berita terbabit,” jelas kenyataan terbabit.

Bradley sebelum ini memenangi anugerah 'December goal of the month award' selepas dia menjaringkan gol menerusi sepakan penalti dalam perlawanan Sunderland menentang Chelsea.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Julai 2017 @ 11:17 AM